PRU awal: Zahid tetap menang, walau Umno kalah

- Advertisement -

PADA ketika ini, bagaikan sudah hampir pasti, PRU akan diadakan pada masa terdekat ini hasil desakan Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi, Presiden Umno terhadap Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob. Walau ramai yang melihat Zahid agak naif sebagai Presiden Umno sebelum ini, tetapi pasti ada kelicikan beliau untuk terus hidup dalam dunia politik yang sangat keras ini.

Jika Umno menang, Zahid akan selamat, berdasarkan ucapan Datuk Azalina Othman yang menyebut semua Perdana Menteri akan memilih Peguam Negara (AG) yang cenderung kepada Perdana Menteri. Apabila AG dipilih dari kalangan pro-Umno, maka kisah bagaimana Tommy Thomas menggugurkan kes Lim Guan Eng ketika PH berkuasa dahulu, mungkin akan berulang. Zahid terselamat dari sebarang pendakwaan, walaupun kes beliau dikatakan oleh pengamal undang-undang lebih kuat berbanding Najib.

Bagaimana pula dengan kedudukan Perdana Menteri sekarang? Pada jangkaan aku, beliau akan dikekalkan sebagai Perdana Menteri, kerana walaupun hanya menjadi Naib Presiden, tetapi apabila sudah berada di tampuk kuasa tertinggi, maka sebagai manusia biasa, beliau pastinya tidak mahu melepaskan sewenang-wenangnya kerusi itu. Zahid pasti terpaksa bersetuju ketika ini, kerana memerlukan Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen.

Bukankah boleh sahaja Zahid mengarahkan Umno untuk terus memecat Perdana Menteri? Ya boleh, tetapi imej Umno akan merudum teruk dan bukan sahaja rakyat biasa yang marah, tetapi juga ahli Umno sendiri. Kes yang adapun rakyat tidak percaya, mengapa mahu ditambah isu baru? Tekanan Zahid ini, sangat cantik dan kena dengan masa. Beliau menggunakan kes Najib sebagai rujukan, keluarga Najib yang menangis, diperlihatkan teraniaya. Maka penyokong Najib yang ramai itu, sekali gus dapat Zahid tempelkan sebagai perisai bagi tindakan menekan Perdana Menteri ini.

Dan juga jika Perdana Menteri diturunkan sekarang, Perdana Menteri baharu, belum tentu seorang yang boleh Zahid bawa berbincang. Mana tahu nanti diangkat kembali Tun Mahathir atau orang lain yang anti Zahid matilah Zahid. Jadi aku yakin akan ada apa yang dikatakan sebagai ‘give and take’ atau ‘win-win situation’ antara Zahid dan Perdana Menteri kerana Ismail juga melihat Zahid tertekan dan memerlukan dirinya. Aku melihat beberapa kebarangkalian untuk tawaran ini.

Ismail Sabri mungkin akan diberikan kuasa memilih calon beliau sendiri bagi memastikan janji-janji Zahid untuk mengekalkan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tertunai. Katakanlah sebanyak 70-80 peratus nama-nama calon yang Ismail yakin akan menyokong beliau menjadi Perdana Menteri nanti dipilih. Pada kebiasaannya, Presiden mempunyai kata pemutus calon-calon, kali ini terpaksa dilanggar tradisinya. Dan Zahid, terpaksa menjadi Presiden Umno sahaja, tanpa jawatan Perdana Menteri.

Apa jadi jika Umno kalah dan PH yang menang? Zahid tetap akan bebas kerana beliau sudah mengisytiharkan satu ketika dahulu yang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘cikgu’nya. Banyak sudah kebocoran maklumat yang mendedahkan mainan pintu belakang antara Zahid dan Anwar. Sekali dengan surat dan rakaman suara. Dinafikan Zahid, kemudian dibuktikan benar.

Aku rasa, PH mungkin akan menghukum Tun dahulu, musuh Anwar yang sudah terlalu lama diidamkan. Dengan kes Tun dan keluarga beliau yang akan dibesar-besarkan, maka isu Zahid akan menjadi kecil dan dilupakan rakyat. Mesti tahu bahawa ingatan pengundi di Malaysia hanya bertahan selama dua hingga tiga minggu sahaja. Kemudian, jika mahu meneruskan lagi isu itu, kena ada sentuhan baharu, jika tidak, rakyat akan menjadi bosan dan isu itu tidak relevan lagi.

Bagaimana pula parti komponen PH, adakah mereka akan membantah rancangan yang aku yakin akan berlaku ini? Mereka tidak akan membantah, kerana mereka juga naik, menumpang isu Anwar. Sebagaimana dikatakan pujangga politik, tiada musuh dan kawan yang kekal dalam politik, matlamat menghalalkan cara, maka tidak tertutup kemungkinan Zahid akan meninggalkan Umno dan menyertai ‘cikgu’nya.

Oleh itu, sangat jelas, jika pengundi menyokong Umno, ia akan mengembalikan kita ke zaman politik kuno Umno mereka yang penuh dengan korupsi, penyelewengan, dendam politik, ketidakadilan agihan kekayaan kepada rakyat dan banyak lagi. Manakala jika mengundi PH, Zahid yang anda marahkan itu mungkin akan berada dalam tim PH juga nanti. Kecuali jika Umno memilih untuk berada bersama Perikatan Nasional, maka Umno akan dijaga oleh PN untuk tidak melampau.

PN sudah membuktikan sekarang, boleh mengawal Umno dengan syarat mereka mahu berubah ke arah kebaikan sebagaimana sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Hishamuddin, Khairy Jamaluddin dan lain-lain yang begitu komited membantu Perdana Menteri dan Kabinet yang terdiri daripada gabungan dengan PN dan GPS. Jadi, jika ada perlawanan tiga penjuru dalam PRU nanti, pastikan PH dan Umno disingkirkan, kerana mereka nanti akan mencorakkan politik yang tidak ke mana bezanya dengan yang dahulu.

Jelas dan mudah pilihan kita semua, rakyat mesti mengundi Perikatan Nasional yang akan membawa negara Malaysia ini ke arah yang lebih terurus, berintegriti. Buktinya ada sekarang, tanpa Zahid, Najib dan Anwar, negara kita lebih sejahtera. 

Nak bukti lagi Zahid dengan Anwar? Zahid sebut baru-baru ini ‘lawan tetap lawan’ biasa dengar tak? Tapi kat mana?

MOHD NASIR ABDULLAH
29 Ogos 2022 – HARAKAHDAILY 29/8/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -
- Advertisement -