Jangan heret PAS ke khemah PH

- Advertisement -

Oleh NASRUDIN HASSAN

PENGALAMAN
adalah guru terbaik. Ia mengajar sebuah realiti. Membangunkan minda yang lena dan menyedarkan jiwa yang alpa.

PAS bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada satu ketika dahulu telah berpengalaman bekerjasama dengan Gagasan Rakyat yang diasaskan pada 1990 hingga 1996.

Kemudiannya PAS turut menyertai pembentukan Barisan Alternatif pada tahun 1999 hingga 2008 sebelum ianya dikemas kini sebagai Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 11 April 2008 hingga 16 Julai 2015.

- Advertisement -

Tidak lama selepas Muktamar PAS yang berlangsung pada 4 hingga 6 Jun 2015 di Kuala Selangor, Pakatan Harapan pula ditubuhkan pada 22 Sept 2015 dan kemudiannya mereka berjaya memerintah negara selepas pilihan raya umum tahun 2018.

(Menariknya Gagasan Rakyat, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat malah Pakatan Harapan hari ini disertai oleh DAP.)

PAS tentu sahaja mempunyai pengalaman duduk bersama mereka sama ada secara enggagement, electoral pact mahupun tahaaluf siasi.

Pengalaman itu (termasuk 22 bulan berada di bawah pemerintahan PH) sudah cukup untuk PAS membuat keputusan muktamad dan mematikan selera berkongsi impian bersama PH mahupun projek khemah besar mereka.

Pada 18 April 2022 yang lalu, YB Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menegaskan bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan PH untuk hadapi PRU15 akan datang.

Agenda perpaduan ummah tentu sahaja tidak melibatkan parti yang tegar menentang Islam dan mempunyai agenda yang jelas untuk menghalang Islam berkembang dan tegak di bumi bertuah ini.

Sebaliknya agenda perpaduan ummah adalah usaha untuk melunak dan menyatukan parti-parti umat Islam serta parti-parti lain yang tidak ekstrem.

Meskipun PAS mahu mencapai kemenangan dan berkuasa, namun sekali-kali PAS tidak akan mempertaruhkan kepentingan Islam yang diperjuangkan selama ini semata-mata kerana kuasa. – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -