Sambutan Merdeka ditenggelami suara desak pengampunan

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

BAGI
sesetengah pihak sambutan Hari Kebangsaan tahun ini seperti kurang ceria. Sedangkan rata-rata rakyat Malaysia melahirkan perasaan megah dapat mengibar Jalur Gemilang.

Kumpulan yang sedih dan hiba minggu lepas berhimpun di hadapan Istana Negara. Mereka menyerah memorandum mohon pengampunan untuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Suasana serupa juga dikesan di PWTC. Media melaporkan ada taklimat khas Presiden Umno Sabtu lepas. Program itu turut mengundang peguam Najib.

Shafee Abdullah yang diberhentikan daripada mewakili Najib di mahkamah pada Julai lepas tampil di pentas Umno. Peguam terbabit sebelum ini membela Najib kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

- Advertisement -

Najib menghentikan khidmat Shafee yang mewakilinya sejak 4 Julai 2018. Bekas perdana menteri terbabit kemudian melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners.

Shafee dan peguam cara lain diberhentikan serta-merta daripada mewakili Najib ketika rayuan akhir kes SRC International. Bagaimanapun pada Sabtu lepas peguam terbabit tiba-tiba tampil memberi taklimat di pentas Umno.

Pada pentas itu Shafee dilapor menyebut dana RM42 juta diderma kerabat diraja Arab Saudi. Beliau juga dikatakan menyebut tidak wujud keadilan kerana tidak diberi penangguhan dalam kes rayuan akhir.

Ekoran itu seorang peguam Hanif Khatri dilapor menyifatkan mana-mana bahagian daripada penjelasan Shafee berbaur menghina mahkamah boleh diambil tindakan.

Namun, diyakini kumpulan yang hiba tidak ramai. Mereka tidak menjangka pemimpin yang dikagumi akhirnya meringkuk dalam jeriji besi. Bagi kumpulan itu Bossku dianggap sebagai pemimpin terbaik.

Mungkin bagi mereka apa yang Bossku buat itu hak peribadinya. Betulkah begitu. Sedangkan Islam ada kaedah dan peraturannya. Tidak boleh sama sekali harta negara kita bolot untuk kepentingan peribadi.

Harta milik negara bukan harta kita. Cuba kita amati Surah al-Baqarah: 172 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…”

Ayat tersebut menjelaskan suruhan Allah SWT kepada hambaNya untuk mencari rezeki daripada sumber yang halal. Ini kerana ia akan menjadi darah daging anak cucu kita.

Malah Islam menegaskan perbuatan mencuri harta negara merupakan perbuatan maksiat yang dikategorikan sebagai dosa besar dalam agama Islam.

Hukuman bagi pelakunya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud “Lelaki dan perempuan yang mencuri, potonglah kedua-dua tangannya (sebagai) pembalasan bagi apa yang mereka kerjakan dan sebagai seksaan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” Surah al-Maidah (38).

Kes yang dihadapi Bossku berada dalam lingkaran sentimen tersebut. Wang SRC International Sdn Bhd, milik kerajaan.

Media melaporkan Bossku dihadap tuduhan pecah amanah terhadap sejumlah wang. Selain itu kes penggubahan wang haram dan salah guna kuasa untuk suapan diri bernilai RM42 juta.

Potong tangan

Dalam konteks Islam hukum mencuri ialah potong tangan jika disabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 mendapati Bossku bersalah. Wujud penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Bossku berdepan tujuh pertuduhan.

Dua tahun lepas Bossku sudah didapati bersalah. Apa yang berlaku itu sepatutnya dimaklumi pengikut Bossku. Mereka tidak wajar bertindak ‘membabi buta’.

Namun, apabila disabit kesalahan, ia tidak boleh dikompromi lagi. Dan apa yang berlaku di Mahkamah Persekutuan Selasa lepas hanya mengulangi keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan mengesahkan apa yang diputuskan Mahkamah Tinggi. Bekas perdana menteri terbabit akhirnya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM120 juta.

Salah tetap salah. Bagaimanapun kes Bossku rupanya tidak berakhir di situ. Masih ada empat lagi kes melibatkan Bossku. Najib masih berdepan empat lagi kes di Mahkamah Tinggi, di mana dua daripadanya dalam proses perbicaraan.

Kes itu membabitkan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan salah guna kuasa meminda laporan audit 1MDB.

Selain itu dua kes yang belum dibicarakan iaitu pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC sebanyak RM27 juta.

Kes penyelewengan itu begitu menakutkan. Maka wajarkah bekas perdana menteri terbabit diberi pengampunan. Sedangkan setiap sen hutang wang milik 1MDB dibayar rakyat.

Namun di sebalik skandal terbabit bagaimanapun Umno Perak menongkah arus. Umno Perak akan memulakan petisyen untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan untuk Najib.

Media juga melapor Umno dikatakan memberi kata dua kepada Perdana Menteri Ismail Sabri supaya memecat Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara. Selain itu memohon pengampunan diraja Najib serta mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.

Lebih mengejutkan lagi apabila disebut Ismail Sabri akan dipecat sekiranya enggan mengikut permintaan Umno. Kita tidak pasti kebenaran berita itu biarpun dinafikan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.

Sebaliknya Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi dilapor menyebut keputusan pecat Ismail bergantung suara akar umbi. Nampaknya, berita pecat perdana menteri yang cuba dinafikan Ahmad seperti benar-benar berlaku.

Difahamkan Ismail dan ramai menteri dari Umno tidak hadir pada taklimat presiden di PWTC Sabtu lepas.

Team Umno Kabinet seperti boleh menduga endingnya. Tugas Ismail akan lebih mudah apabila 40 pertuduhan rasuah terhadap Ahmad Zahid diputuskan segera mahkamah.

Pada 11 Ogos lepas pasukan pendakwaan kes melibatkan Zahid ditutup selepas memanggil 18 saksi. Kata seorang peguam kes membabitkan Zahid lebih jelas berbanding Najib. Kita tunggu episod seterusnya. – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -