TDM Berhad catat lonjakan pendapatan suku kedua 2022

Najman Kamaruddin
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: TDM Berhad mencatat lonjakan pendapatan suku kedua berakhir 30 Jun lepas sebanyak RM159.4 juta, iaitu berlaku peningkatan 44 peratus berbanding RM111.0 juta suku sama tahun lalu.

Peningkatan itu disumbang bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan TDM, berlaku pertambahan pendapatan masing-masing sebanyak 70 peratus dan 16 peratus.

Hasil peningkatan tersebut, TDM berjaya mencatatk keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.7 juta pada suku tersebut, dianggap perkembangan begitu baik berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM1.4 juta tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Eksekutif TDM Najman Kamaruddin berkata, pihak syarikat berbesar hati dengan peningkatan keseluruhan Kumpulan TDM, khususnya bahagian perladangan.

- Advertisement -

Katanya, secara keseluruhannya, TDM yakin prospek segmen terbabit ekoran harga minyak sawit mentah (CPO) yang dijangka kekal lebih tinggi daripada catatan purata terdahulu.

“Bahagian penjagaan kesihatan pula menjangkakan jumlah kunjungan pesakit yang lebih tinggi tatkala Malaysia menuju ke arah endemisiti.

“Dalam pada itu, integrasi KMI Tawau Medical Centre, yang telah selesai pengambilalihannya, ke dalam rangkaian hospital milik TDM juga akan meningkatkan kapasiti katil, seterusnya menyumbang kepada pendapatan yang lebih baik di masa hadapan,” katanya pada kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya juga pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) melonjak 30 peratus daripada RM22.7 juta kepada RM29.6 juta pada tempoh yang sama.

Kata beliau bagi enam bulan berakhir 30 Jun 2022 pendapatan TDM meningkat sebanyak 42 peratus kepada RM303 juta.

Di mana pendapatan bahagian perladangan meningkat sebanyak 69 peratus, manakala bahagian penjagaan kesihatan pula mencatatkan pertumbuhan 14 peratus.

Sementara itu, Kumpulan TDM melaporkan PBT sebanyak RM21.6 juta ketika tempoh tersebut, sebuah lonjakan positif berbanding LBT sebanyak RM4.7 juta yang dicatatkan tahun lalu.

EBITDA pula meningkat sebanyak 53 peratus daripada RM46.0 juta pada 1HFY 2021 kepada RM70.3 juta pada separuh tahun (1HFY) 2022.

Bahagian Perladangan Malaysia peningkatan pendapatan sebanyak 70 peratus ketika 2QFY 2022 kepada RM97.2 juta disumbangkan terutamanya oleh purata CPO lebih tinggi pada 54 peratus dan isirong sawit (PK) pada 32 peratus.

Peningkatan harga tersebut lebih daripada mengimbangi penurunan kecil sebanyak 3 peratus, dalam volum jualan CPO, manakala pada masa yang sama, volum jualan PK yang lebih tinggi sebanyak 4 peratus meningkatkan lagi perolehan segmen.

Tenaga kerja

Najman juga berkata, kekurangan tenaga kerja di ladang menjadi salah satu menjadi faktor kepada pengeluaran buah tandan segar (BTS) menyusut dijangka berterusan sehingga menjelang 2HFY 2022.

“Walaupun Indonesia menarik balik larangan menghantar pekerja ke Malaysia, proses mendapatkan pekerja baharu dijangka mengambil masa yang panjang dan syarikat berkemungkinan tidak dapat memanfaatkan kesan positif tempoh pengeluaran puncak bagi CPO di antara bulan Ogos dan Oktober 2022.

“Pada sudut yang lebih positif, harga CPO dijangka kekal tinggi berikutan stok minyak makan yang terhad, harga minyak mentah yang tinggi, dan ketidaktentuan bekalan minyak bunga matahari dan biji sesawi dari wilayah Laut Hitam akibat konflik di Ukraine,” ujarnya.

Menurutnya juga penjualan bahagian perladangan Indonesia telah dimuktamadkan dengan termeterainya Perjanjian Jual Beli Saham Bersyarat (CSPA) di antara TDM dan Ikhasas Sawit Sdn Bhd bagi pelupusan PT Rafi Kamajaya Abadi (RKA) dan PT Sawit Rezki Abadi (SRA) untuk pertimbangan tunai sebanyak RM115 juta.

Kata beliau sementara menunggu proses jualan selesai menjelang 1QTK 2025, RKA akan diuruskan PT Ikhasas Sawit Indo Makmur melalui aturan perkhidmatan pengurusan bermula 1 Ogos lepas.

Beliau juga berkata, bahagian penjagaan kesihatan mencatatkan pendapatan sebanyak RM62.2 juta, peningkatan sebanyak 16 peratus.

Katanya ia disumbang pertambahan bilangan pesakit di hospital dan kadar penghunian katil naik 19 peratus yang lebih tinggi merupakan pemacu utama pertumbuhan segmen.

Walau bagaimanapun, LBT dilaporkan meningkat daripada RM0.2 juta ketika 2QFY 2021 kepada RM2.1 juta ketika 2QFY 2022, manakala EBITDA turun 58 peratus daripada RM6.2 juta kepada RM2.6 juta ketika tempoh yang sama.

“Kumpulan TDM kini memberi tumpuan mengembangkan rangkaian perkhidmatan perubatan semasa yang ditawarkan di seluruh hospital pelbagai disiplin melalui pengenalan perkhidmatan subkepakaran sebagai tambahan kepada tujuh prinsip teras penjagaan sekunder iaitu pakar perubatan, pembedahan am, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, radiologi, anestesiologi, ortopedik, dan pembedahan traumatologi.

“Pusat Mata yang dibuka baru-baru ini menjadi tambahan baharu Pusat Kecemerlangan di KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan), membuktikan inisiatif Kumpulan TDM mengutamakan pesakit.

Bagi operasi di Malaysia Timur, pelan pasca pengambilalihan KMI Tawau Medical Centre (KMI Tawau) kini sedang ditambah baik dari segi keupayaan dan pertumbuhan kapasiti, sekaligus menyediakannya sebagai pusat kesihatan bagi industri pelancongan perubatan di masa hadapan.

Najman juga berkata, pada 20 Julai lepas TDM membayar dividen akhir satu peringkat sejumlah RM6,030,079 juta (0.35 sen per saham biasa) bagi tahun kewangan 2021.

“Dividen akhir tersebut diambil kira dalam ekuiti sebagai pengagihan pendapatan tertahan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -