Isham Jalil dan Umno sudah masanya fokus pada akhirat juga

- Advertisement -

KONSISTEN Isham Jalil ‘memperlekeh’ PAS. Bagi dia PAS hanya fokus kepada akhirat, seolah-olah tidak mempedulikan dunia.

Sebelum ini diperleceh Kerajaan PAS Terengganu di hadapan pemimpin akar umbi Wanita Umno. 

Dua hari lepas dia ucapkan lagi di Pasir Mas, Kelantan dengan tujuan merendah-rendah Kerajaan PAS Kelantan. Respon kita;

Pertama, kita berterima kasih kepada Isham Jalil kerana mengiktiraf PAS sibuk fikir fokus dan mencari kebahagiaan akhirat. Ini satu pengiktirafan kepada PAS. 

Dengan pemikiran inilah PAS mampu bertahan dengan nilai integriti berbanding parti-parti lain termasuk Umno yang terpalit dengan isu-isu integriti, politik wang dan penyelewengan. 

Kedua, sedar tak Isham bahawa Kelantan dan Terengganu adalah negeri majoriti Melayu-Islam dan sangat condong kepada agama hingga digelar negeri Serambi Makkah dan Serambi Madinah. 

Dengan kempen ‘PAS fokus akhirat’, akan menarik lagi banyak sokongan kepada PAS di Kelantan dan Terengganu. Isham sengaja nak kalahkan Umno di Kelantan dan Terengganu kah?

Ketiga, ya, PAS fokus pada akhirat dan PAS juga fokus mencari kebahagiaan di dunia. Ini dibuktikan daripada Indeks Kebahagiaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Negara.

Jika tidak dikira Wilayah Persekutuan, Negeri Terengganu menjadi negeri yang paling bahagia di Malaysia dengan 7.20 point dan diikuti oleh Kelantan dengan 7.02 point.

Fakta ini membuktikan bahawa PAS bukan sahaja fokus kepada akhirat bahkan fokus mencari kebahagiaan di dunia juga. Bukti di depan mata.

Keempat, Jabatan Perangkaan Negara juga telah mengeluarkan Prestasi Pertumbuhan Ekonomi Negeri melalui KDNK Negeri, jika dibanding antara negeri PAS dan Umno, Terengganu (3.6 peratus) prestasi ekonominya paling baik berbanding negeri-negeri Umno lain. 

Bahkan Kelantan (2.4 peratus) yang dikata fokus pada akhirat dan mundur itu pun, prestasi pertumbuhan ekonominya lebih baik daripada Melaka (2.0 peratus), Perlis (1.5 peratus) dan Pahang (0.9 peratus). 

Jika kita guna fakta ini dengan cara kempen Isham, boleh lah kita katakan, Umno ini dah la tak berapa fokus akhirat sangat, dunia pun tak boleh nak fokus juga.  Boleh tara tu? 

Sudah masa Umno juga fokus kepada akhirat, dengan ada wawasan akhirat, dosa-pahala dan syurga-neraka akan sentiasa mengingatkan kita daripada melakukan penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 29/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -