Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
Dua penyerang terkemuka Eropah akan menentang bekas pasukan mereka ketika Erling Haaland dari Manchester City berdepan Borussia Dortmund dan pemain Barcelona, Robert Lewandowski bertemu Bayern Munich selepas undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara dibuat semalam.
Penyandang juara, Real Madrid yang merangkul kejuaraan Eropah ke-14 dengan menewaskan Liverpool pada perlawanan akhir musim lalu, akan menentang RB Leipzig, Shakhtar Donetsk dan Celtic dalam Kumpulan F.
Ketika Real Madrid yang dibimbing oleh Carlo Ancelotti sepatutnya tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan 16, saingan Sepanyol mereka dan juara Eropah lima kali, Barca berdepan ujian sukar menentang gergasi Jerman dan Itali, Bayern dan Inter Milan serta Viktoria Plzen dalam Kumpulan C.
Penyokong juga akan menantikan kepulangan Lewandowski ke Bayern, kelab yang pemain antarabangsa Poland itu memenangi lapan kejuaraan liga, tiga Piala Jerman, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.
Juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City diundi dalam Kumpulan G bersama Dortmund, Sevilla dan FC Copenhagen dengan jurulatih, Pep Guardiola berharap kedatangan Haaland dapat memacu usaha kelab itu untuk merangkul mahkota Piala Eropah yang pertama.
“City secara semula jadi adalah kuasa yang perlu ditakuti dalam Liga Juara-Juara. Kami menantikan City sama seperti pertemuan semula dengan Erling Haaland,” kata pemain tengah Dortmund, Marco Reus.
Kelab milik Qatar, Paris St Germain pula memulakan usaha memburu trofi sulung pertandingan kelab elit Eropah dalam Kumpulan H bersama Juventus, Benfica dan Maccabi Haifa.
Naib juara musim lalu, Liverpool bertemu Ajax Amsterdam, Napoli dan Rangers dalam Kumpulan A.
“Perkara pertama yang perlu dikatakan ialah ini adalah cabaran yang wajar,” kata Pengurus Liverpool, Juergen Klopp kepada laman web kelab itu. “Semua kelab mempunyai kualiti, mereka mempunyai sejarah lalu dan saya akan katakan mereka mempunyai peluang.
“Perkara yang bagus ialah kami juga begitu. Oleh itu, masuk akal untuk kami menantikan cabaran itu dan mencubanya.”
Juara musim 2020-21, Chelsea akan bertemu juara Itali, AC Milan dalam Kumpulan E bersama RB Salzburg dan Dinamo Zagreb.
Pemenang Liga Europa, Eintracht Frankfurt digandingkan bersama Tottenham Hotspur, Sporting Lisbon dan Olympique Marseille dalam Kumpulan D.
Perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara bermula lebih awal daripada biasa pada 6 September ini dan berakhir menjelang pusingan akhir Piala Dunia tahun ini yang berlangsung di Qatar mulai 20 November .
Peringkat kalah mati Liga Juara-Juara bermula pada bulan Februari 2023, dengan perlawanan akhir berlangsung di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul pada bulan Jun.
Kumpulan A
Ajax, Liverpool, Napoli, Rangers
Kumpulan B
Porto, Atletico Madrid, Bayer Leverkusen, Club Bruges
Kumpulan C
Bayern Munich, Barcelona, Inter Milan, Viktoria Plzen
Kumpulan D
Eintracht Frankfurt, Tottenham, Sporting Lisbon, Marseille
Kumpulan E
AC Milan, Chelsea, RB Salzburg, Dinamo Zagreb
Kumpulan F
Real Madrid, RB Leipzig, Shakhtar Donetsk, Celtic
Kumnpulan G
Manchester City, Sevilla, Borussia Dortmund, FC Copenhagen
Kumpulan H
Paris St-Germain, Juventus, Benfica, Maccabi Haifa