GAMIS kecam penganjuran konsert berterusan di Malaysia

- Advertisement -

KAMI mulakan tulisan ini dengan mengingatkan ancaman Allah S.W.T terhadap mereka yang langsung tidak mempunyai rasa takut untuk melakukan kerosakan di atas muka bumi Allah:

- Advertisement -

“فَكُلًّا أَخَذۡنَا بِذَنۢبِهِۦۖ فَمِنۡهُم مَّنۡ أَرۡسَلۡنَا عَلَیۡهِ حَاصِبࣰا وَمِنۡهُم مَّنۡ أَخَذَتۡهُ ٱلصَّیۡحَةُ وَمِنۡهُم مَّنۡ خَسَفۡنَا بِهِ ٱلۡأَرۡضَ وَمِنۡهُم مَّنۡ أَغۡرَقۡنَاۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِیَظۡلِمَهُمۡ وَلَـٰكِن كَانُوۤا۟ أَنفُسَهُمۡ یَظۡلِمُونَ”

“Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri”.

 (Al-Ankabut: 40)

Kebelakangan ini, kita melihat semakin banyak konsert besar yang dilaksanakan di Malaysia. Terbaharu adalah konsert Billie Eilish di Stadium Bukit Jalil yang dibanjiri ramai penonton dari setiap pelosok negara. 

Sangatlah memalukan dan mengecewakan apabila konsert seperti ini dianjurkan di sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama yang paling tertinggi. 

GAMIS melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan penganjuran aktiviti yang membuka ruang maksiat seperti ini dalam kalangan rakyat Malaysia. Bahkan dikhabarkan lebih banyak konsert-konsert ‘liar’ yang akan dilangsungkan di Malaysia selepas ini. 

Justeru, semua pihak perlu berperanan dalam membanteras penganjuran konsert seperti ini daripada terus berlangsung di Malaysia. GAMIS yakin dengan institusi agama kerajaan dalam menyuarakan seterusnya menyelesaikan hal ini. 

Namun apa yang malangnya sekiranya pihak lain yang lebih berautoriti dan diterajui oleh orang Islam seperti Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia sepatutnya lebih bertegas dalam isu ini. 

Apa yang membimbangkan apabila penganjuran konsert seperti ini juga dihadiri oleh orang Islam yang sepatutnya menjadi benteng kepada agama suci ini. 

Apatah lagi sekiranya artis-artis yang dijemput membawa mesej yang bertentangan dengan Islam seperti yang dilakukan oleh Billie Eilish yang memakai bendera pelangi sebagai pengiktirafan kepada golongan LGBT. 

Menyedari hakikat ini GAMIS menyeru kepada seluruh institusi agama baik di peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun negeri agar mengambil langkah yang lebih proaktif sekurang-kurangnya dalam menyedarkan masyarakat agar tidak terlibat dengan penganjuran aktiviti-aktiviti yang berunsurkan kemaksiatan.

Akhir sekali, GAMIS mengajak kepada seluruh umat Islam agar tidak terjebak dengan penganjuran yang merugikan diri seperti ini.

Ambillah pengajaran daripada kaum-kaum terdahulu yang telah diazab oleh Allah kerana keberanian mereka menzahirkan dosa dan berterusan melakukan maksiat sebagaimana ayat yang telah dinyatakan di atas. 

“Membangun Kesatuan Mahasiswa”

MUHAMMAD RASYDAN JUNUH 
Naib Presiden 2
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 23/8/2022

- Advertisement -