Tujuh negeri dijangka alami hujan lebat, ribut petir

Oleh ZULHAIDI MANSOR

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka berlaku di 7 buah negeri sehingga jam 5 petang ini.

MetMalaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan melalui Facebook pada jam 11:40 pagi tadi memaklumkan, cuaca tidak menentu melibatkan cuaca tidak menentu itu melibatkan beberapa kawasan di Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak dan Sabah. 

Advertisement

“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Johor (Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru), Sarawak: Sri Aman (Sri Aman), Betong dan Sarikei (Pakan, Sarikei dan Meradong). 

“Bagi negeri Perak melibatkan kawasan Batang Padang dan Muallim, di Pahang pula, kawasan di Lipis, Raub dan Bentong manakala di Selangor di Hulu Selangor serta Hulu Langat,” ujar kenyataan tersebut, hari ini. 

Tambah kenyataan itu, cuaca tidak menentu turut berlaku di Sabah di kawasan Pedalaman (Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud) dan Kudat (Kota Marudu).

Sementara di Kuala Lumpur, ribut petir berlaku pada petang ini, namun dijangka tiada hujan pada sebelah malamnya.

MetMalaysia menjelaskan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Menurut kenyataan itu, amaran ribut petir adalah bersifat jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – HARAKAHDAILY 12/8/2022