Hufaz dilahir sekolah YIK sertai bidang profesional

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Ramai golongan hufaz yang dilahirkan dari sekolah agama Yayasan Islam Kelantan (YIK) sekarang berkhidmat sebagai profesional dalam pelbagai bidang.

Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, hufaz yang dilahirkan bukan hanya bertugas sebagai pendidik semata-mata, sebaliknya menyertai bidang profesional.

Katanya, ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai jurutera, pegawai perubatan, pilot dan pelbagai bidang lagi.

- Advertisement -

“Di dalam dada mereka ada al Quran yang sudah tentu menjadi benteng bagi mengelakkan sesuatu yang menyalahi hukum agama,” katanya selepas merasmikan majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) kali ke-12 di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi Azhar Salleh, Pengarah YIK Engku Rajhan Engku Ismail dan Pengarah Institut Pemikiran Tok Guru, Dato’ Dr Johari Mat.

Mohd Amar berkata, tenaga pengajar dari golongan hufaz diperlukan di seluruh negara dan bukan hanya setakat di Kelantan sahaja.

Oleh itu menurutnya ibu bapa tidak perlu bimbang masa hadapan anak-anak yang belajar menghafal al Quran kerana khidmat mereka diperlukan di segenap bidang.

“Penghafaz al Quran merupakan penyelamat ummah. Kita bukan hendak melahirkan ulama semata-mata, profesional dalam pelbagai bidang dan kepakaran,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -