PAS temui Ketua Bishop Kristian Malaysia

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perpaduan ummah yang dirintis PAS bukan hanya membabitkan parti-parti politik yang ada di Malaysia, malah turut mencakupi hubungan antara agama.

Lajnah Dakwah PAS (LDP) Pusat dengan kerjasama LDP Perlis menganjurkan pertemuan mahabbah antara Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin bersama Ketua Bishop Kristian Malaysia, Dato’ Seri Bishop Sebastian, semalam.

Tuan Guru Hashim berkata, pelbagai kaedah boleh dilakukan bagi mencapai perpaduan ummah antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

- Advertisement -

“Jika ada perbezaan pendapat antara kita, lebih baik diketepikan terlebih dahulu kerana banyak lagi persamaan yang boleh kita raikan,” katanya pada perjumpaan tersebut yang diadakan di Hotel Seri Malaysia.

Turut hadir Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Majlis Syura Ulamak Tuan Guru Ahmad Ali, AJK Kerja PAS Pusat; Dato’ Awang Hashim, Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli serta Ketua Paderi Negeri Paderi Francis Xavier.

Program itu turut dihadiri wakil agama Kristian di seluruh Perlis dan AJK Dewan Pemuda dan Muslimat Negeri PAS.

Tuan Guru Hashin juga berharap setiap rakyat saling mempercayai antara satu sama lain dan jika ada perselisihan hendaklah diselesaikan dengan cara baik.

“Agama Islam tidak mengajar penganutnya mempersenda agama lain agar ia menjadi benteng tidak berlaku pertelingkahan sesama kita.

“Semoga perjumpaan ini bukanlah yang terakhir, teruskan lagi di masa akan datang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/8/2022

- Advertisement -