Festival arak tidak sepatut disubur di Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS tidak menghalang penganut bukan Islam meminum arak, tetapi menegaskan budaya seperti festival arak ‘Oktoberfest’ tidak sepatutnya disuburkan di Malaysia.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS, Senator Ir. Khairil Nizam Khirudin, berkata budaya sedemikian jelas bukan satu budaya yang baik serta mengundang kepada pelbagai jenayah lain.

“Oktoberfest bukan mengenai isu hak orang bukan beragama Islam (minum arak), tetapi isu (ada pihak cuba) untuk membawa budaya tidak baik daripada luar masuk ke dalam Malaysia.

“Adapun hak bukan Islam untuk meminum arak dan sebagainya, itu telah pun termaktub dan dibenarkan. Jadi, kita halang cubaan membawa budaya ini kerana kita sedar di luar sana timbul masalah apabila minum arak, seperti kematian, pergaduhan, disebabkan isu mabuk ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakah untuk mengulas usaha segelintir pihak yang dilihat cuba menormalisasikan sambutan festival arak di Malaysia, pada Jumaat.

Menurut Ir. Khairil, secara asasnya budaya meminum arak adalah tidak baik, justeru tiada sebab untuk kerajaan Malaysia menjadikannya sebagai suatu budaya baru di negara ini.

“Mengapa kita perlu agungkan budaya tidak baik, ia bukan budaya Malaysia, kenapa mahu ikut? Siapa yang rajin untuk membawa budaya yang tidak baik ini ke dalam negara ini?” soalnya.

Tambah beliau, PAS secara terus terang tidak menyokong budaya sedemikian untuk dinormalisasikan di Malaysia.

Katanya, sebarang agama juga tidak membenarkan budaya tidak sihat itu merosakkan penganutnya.

“Cuba nyatakan agama mana yang membenarkan budaya tidak baik yang songsang ini disokong oleh agama tersebut?

“Jadi, ia bukan pertimbangan PAS atau sesiapa. Menteri yang baik akan membaya budaya yang baik, dia tidak akan membawa budaya yang tidak baik,” katanya lagi.

Tegasnya lagi, sebarang budaya liar dan ditolak agama sememangnya tidak akan disokong oleh sebarang pemimpin politik yang sayangkan agamanya.

Katanya, bukan hanya agama Islam, begitu juga agama lain yang melarang penganutnya meminum arak.

“Budaya yang tidak baik, bertentangan dengan agama, adat ketimuran, tidak digalakkan sama sekali,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 6/8/2022

- Advertisement -