PAS sentiasa berjiwa besar untuk saling bertoleransi

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

KOTA KINABALU:
Keharmonian kaum, kestabilan politik dan kesejahteraan hidup rakyat merupakan teras permuafakatan yang dirintis PAS sejak dahulu sehingga sekarang.

Ketua Dewan Muslimat PAS Sabah, Norsah Bongsu berkata, bagi mencapai matlamat tersebut Muslimat PAS Sabah mengambil pendirian menyatukan rakyat yang cintakan kesejahteraan bagi melahirkan negara yang stabil.

- Advertisement -

“Muafakat adalah satu rahmat. Apa yang harus difahami, PAS sedia bekerjasama dengan siapa sahaja yang menghormati dan menerima syarat yang ditetapkan dalam muafakat bersama rakan politik.

“PAS sentiasa berjiwa besar untuk saling bertoleransi dengan semua pihak asalkan prinsipnya dihormati. Ini penting sebagai suatu cara untuk mencari titik persefahaman dalam meraikan perbezaan,” katanya pada Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Sabah kali ke-32 di sini, hari ini.

Oleh itu Norsah berharap muslimat PAS di semua peringkat perlu mendekati masyarakat setempat dan memahami budaya mereka selagi mana tidak bercanggah dengan syariah Islam.  
 
“Lajnah Perpaduan Nasional perlu merangka program turun padang bersama masyarakat dengan lebih aktif lagi  agar muafakat  ke arah perpaduan dan Sabah Sejahtera dapat diperkasa.

“Pemantapan program dakwah dan kebajikan yang berstrategi perlu diperhalusi agar sasaran utama kita untuk PAS diterima dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum akan membuahkan hasil,” katanya.

Menurutnya juga Muslimat PAS Sabah turut menyokong cadangan Adun Dr Aliakbar Gulasan memperbanyakkan mahkamah syariah terutama kawasan majoriti Muslim dan mewujudkan mahkamah bergerak bagi menyelesaikan masalah kes mahkamah syariah yang tertunggak di kawasan pedalaman.
 
“Ini membuktikan PAS mempertahankan dan mengambil berat dengan permasalahan berkaitan dengan hak wanita dan kanak-kanak,” ujarnya.

Muktamar Dewan Muslimat PAS Sabah diadakan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara yang menghimpunkan perwakilan muslimat PAS dari seluruh Sabah. – HARAKAHDAILY 6/8/2022

- Advertisement -