PAS tidak pernah tutup peluang penyatuan ummah

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUANTAN: Himpunan Hijau 3.0 dan pelancaran jentera PAS Pahang di Pantai Sepat, di sini semalam, memberi gambaran jentera parti itu bersemangat untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Tema yang diangkat, PAS teraju Pahang, serta semangat yang ditonjolkan penyokong diyakini mampu menjadi penggerak dalam persiapan PRU15 yang dijangka bakal berlangsung penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, sebarang perbincangan berhubung pembahagian kerusi di peringkat di Perikatan Nasional (PN) masih belum diputuskan.

Katanya, perkara itu akan diputuskan pada perbincangan akan datang, dalam masa sama PAS juga masih mendokong Penyatuan Ummah walaupun Umno setakat ini membuat keputusan untuk bergerak solo bersama Barisan Nasional (BN).

“Jika Umno (membuat keputusan untuk) bergerak solo bersama BN, kita akan bersama Perikatan Nasional menghadapi pilihan raya.

“Kita juga sudah ada pelancaran Perikatan Nasional di Kelantan, Terengganu. Selepas ini di Kedah, Pahang, Perlis dan seluruh negara.

“Cuma malam ini kita mahu lihat situasi kekuatan PAS di Pahang sahaja, dan kita lihat Alhamdulillah, sangat bersemangat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Himpunan Hijau 3.0 atau Himpunan 20K (H20K) di Pantai Sepat di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Presiden PAS, Dato Mohd Amar Nik Abdullah dan Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS tidak pernah menutup peluang untuk penyatuan Ummah dan sentiasa terbuka memandangkan PAS beranggapan adalah satu keperluan untuk tiga parti yang besar, iaitu PAS, Umno dan Bersatu untuk duduk bersama.

Katanya, walaupun penyatuan dalam konteks parti politik untuk berdepan pilihan raya mungkin tidak berjalan lancar, namun dari aspek lain perlu berlaku penyatuan ummah ini.

“Kalau pun bukan dalam konteks penyatuan politik dalam parti Pilihan Raya, tetapi mesti ada satu platform untuk penyatuan ummah. Kita ada banyak isu bersama untuk penyatuan Ummah ini yang perlu kita pertahankan.

“Cuma dalam konteks politik, PAS berdaftar sebagai komponen Perikatan Nasional, dan PAS adalah Ahli dalam Perikatan Nasional.

“Kita buat sekadar konteks pilihan raya, kecuali BN buat keputusan berbeza, itu kita bincang semula,” katanya.

Bagaimanapun, kata Tuan Ibrahim, jika penyatuan ummah dapat dizahirkan, ia mestilah berlaku di seluruh negara, bukan hanya negeri-negeri tertentu.

“Kerangka penyatuan ummah mesti menyeluruh, tidak boleh hanya berlaku di Pahang bersepakat, kemudian di Kelantan dan Terengganu hendak lawan, tidak boleh. Jika kita berpakat, kita berpakat di seluruh negara, katanya lagi.

Dalam majlis sama, Tuan Ibrahim menarik perhatian hadirin apabila membida sebentuk cincin batu marjan yang pernah menjadi miliknya sebelum ini.

Cincin berkenaan sebelum ini dibida pada Pilihan Raya Umum ke-14 untuk tujuan dana pilihan raya dan dimiliki pembida tertinggi ketika itu.

Semalam, cincin berkenaan mula dibida pada harga RM100, dan berakhir pada harga RM6,000 dan akhirnya dinaikkan kepada RM10,000 dan kembali kepada tuan asalnya.

Dalam masa sama, PAS Pahang merekodkan kutipan derma dan dana PRU15 pada semalam sahaja sebanyak RM24,337 sepanjang program tidak termasuk harga bidaan cincin batu marjan milik Tuan Ibrahim. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -