Projek hidroelektrik Nenggiri diteruskan, siap 2027

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Pembinaan projek loji janakuasa hidroelektrik Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, tetap diteruskan dan dijangka beroperasi pada 1 Jun 2027.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kerja pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik berkapasiti 300 Megawatt (MW) dimulakan sejak 1 Mac lalu, dibiayai sepenuhnya oleh TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB).

- Advertisement -

Katanya, tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi di projek itu juga mampu membantu kerajaan Kelantan mengurangkan kesan fenomena banjir besar yang kerap melanda negeri itu.

“Selain mengatasi isu bekalan air bersih dan pengairan, projek itu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan ketika pembinaannya dan pelbagai potensi kegiatan ekonomi apabila siap kelak,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) di Dewan Rakyat, hari ini.

Takiyuddin mengakui bahawa pembinaan empangan Nenggiri akan memberikan kesan kepada flora dan fauna serta tiga kampung Orang Asli, iaitu Kampung Kuala Wias, Pos Pulat dan Pos Tohoi yang mempunyai seramai 1,115 penduduk.

Katanya, kesan itu perlu ditangani melalui pelbagai langkah kawalan dengan kerjasama rapat jabatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Selain itu, katanya TPGSB memulakan kerja-kerja awalan pembangunan projek ini dengan memperolehi semua kelulusan yang diperlukan, antaranya Kajian Potensi Mineral, Kajian Penerimaan Awam dan Sosial, Kajian Impak Alam Sekeliling (EIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Warisan (HIA).

Bagi memaksimumkan manfaat projek ini dan menjaga kepentingan penduduk kampung terlibat dan Orang Asli, katanya sejak 2014 lagi, TNB melaksanakan pelbagai program dan tanggungjawab sosial bersama komuniti Orang Asli di sekitar tapak cadangan projek.

“Lebih 30 sesi libat urus bersama masyarakat setempat dilaksanakan, termasuk anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang disertai pemimpin komuniti Orang Asli di tapak projek empangan, iaitu dari Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Kuala Wias dan kumpulan Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK),” katanya.

Berdasarkan hasil Kajian Penerimaan Awam oleh juruperunding yang dilantik, UKM Pakarunding Sdn Bhd pada 2018, katanya tahap penerimaan projek oleh penduduk di tiga kampung berkenaan meningkat kepada 80 peratus berbanding 69.5 peratus pada 2015.

Beliau berkata, ini mencerminkan masyarakat terlibat memahami dengan jelas pembangunan yang akan berlaku di kawasan mereka dan manfaat yang akan diperolehi. – HARAKAHDAILY 1/8/22

- Advertisement -