Tanggungjawab besar dedah politik Islam di Sabah

- Advertisement -

Oleh SUZIANA GHANI

- Advertisement -

KUNAK: Tugas dan tanggungjawab PAS terlalu besar untuk membolehkan masyarakat di Sabah memahami dakwah dan politik Islam dengan lebih meluas.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah Ramli Pataruddin berkata, usaha itu
memerlukan organisasi yang besar, teratur, sistematik, berdisiplin dan berkualiti bagi melancar gerak kerja jamaah.

Selain itu katanya PAS memerlukan ahli yang ramai, mahir dan berketrampilan bagi membolehkan Islam didaulat di bumi Sabah.

“Bagi mencapai hasrat itu PAS memerlukan ahli yang memahami tarbiah yang mantap bagi mengharungi cabaran politik dan dakwah di Sabah,” katanya pada perasmian mesyuarat agung tahunan kali ke-10 PAS Lahad Datu di sini semalam.

Ramli yang juga Yang Dipertua PAS Lahad Datu berkata, PAS bukan sahaja parti politik namun merupakan gerakan Islam yang berpaksikan tunjang tarbiah dan perkaderan, dakwah serta siasah.

Menurutnya PAS tetap meletakkan agenda tarbiah dan pengkaderan sebagai nadi gerak kerja dalam ruang lingkup demokrasi di negara ini.

“Tarbiah digerak dan diaktif untuk membina akidah berasaskan manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“PAS juga mengutamakan pengkaderan untuk membina kepimpinan yang berkarisma dan berwibawa bagi membentuk organisasi yang mantap,” katanya.

Hampir 100 ahli dari cawangan-cawangan PAS di Lahad Datu hadir pada mesyuarat agung tersebut. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -