Berikan kuasa lebih besar kepada FAMA

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) perlu berperanan mengedar komoditi ternakan bagi menstabilkan rangkaian bekalan komoditi berkenaan.

Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit., berkata usaha ini bertujuan memastikan bekalan ternakan sentiasa mencukupi serta tidak terganggu kerana semuanya bernaung di bawah agensi itu.

- Advertisement -

Selain itu, katanya tindakan ini dapat membantu golongan penternak, terutama yang beroperasi secara kecil-kecilan yang selama ini terganggu ekoran harga pasaran komoditi ternakan yang tidak stabil.

“Jika FAMA diberi peranan ini, ia boleh membantu penternak kecil dengan memantau gerak kerja dan pasaran. Kita sangat berharap dengan tindakan ini, masalah terputus bekalan tidak akan lagi berlaku, terutama setiap kali musim perayaan.

“Tindakan agresif perlu dijalankan oleh agensi yang bakal bertanggungjawab seperti FAMA bagi memastikan rakyat tidak lagi perlu berdepan masalah sama setiap tahun. Kita juga mengharapkan FAMA ke depan untuk memastikan tiada permainan harga apabila tiba musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri berkata, seperti sudah dapat menjangka apabila musim perayaan, harga lembu dan ayam akan meningkat berkali ganda dan berharap dengan campur tangan FAMA, perkara ini tidak akan berlaku.

Menurutnya, penglibatan FAMA juga dilihat mampu mengukuhkan kerjasama strategik bersama industri mahu pun secara langsung melalui pembelian di peringkat ladang.

Katanya, pindaan RUU ini diharapkan dapat dapat memacu pembangunan sektor ternakan bagi menjamin keselamatan makanan negara.

“Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan sumbangan sektor agromakanan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara melalui pemerkasaan penternak kecil dan semi komersial,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masa FAMA menjadi satu badan bebas yang bergerak sendiri dengan sedikit pegangan kerajaan supaya matlamat asal penubuhan dapat dicapai dan membolehkan FAMA mengurus sendiri kewangan tanpa mengharapkan bantuan kerajaan sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 1/8/22

- Advertisement -