Keupayaan kerjasama MN-PN bukan fatamorgana

- Advertisement -

Oleh ANNA TAN

TAWAU:
Penyatuan ummah yang melibatkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) tetap diperkukuh di semua peringkat biarpun ada pemimpin menganggap ia sebagai fatamorgana.

Yang Dipertua PAS Tawau Mohamad Husain berkata, keperluan mempertahankan penyatuan ummah bagi mengekal kerajaan Malaysia yang ada sekarang.

- Advertisement -

Katanya begitu juga kerjasama MN dan PN di Sabah sekarang berjaya membentuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sehingga dapat mentadbir sebuah kerajaan.

“Kejayaan penyatuan ummah dapat dilihat sama ada di peringkat pusat atau peringkat negeri,” katanya ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan PAS Tawau di sini semalam.

Mesyuarat Agung PAS Tawau Kali ke-34 itu dirasmikan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Dato’ Dr Nik Muhamad Zawawi Salleh.

Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Puteri Barisan Nasional (BN) semalam dilapor berkata, kerjasama Umno, PAS dan Bersatu mampu memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dianggap sebagai fatamorgana.

Sementara itu ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tersebut Dr Nik Zawawi berkata, PAS berkembang pesat di Tawau dengan kelahiran lebih banyak institusi pendidikan Islam.

Kata beliau di Tawau terdapat Kompleks Pengajian Madrasah Darul Hidayah di Kampung Sungai Imam yang menyediakan Pendidikan Islam kepada anak-anak penduduk tempatan.

Manakala pada mesyuarat tersebut Dewan Muslimat Tawau mencadang diwujudkan lebih banyak Pasti di Tawau bagi mendedahkan anak-anak di peringkat prapersekolahan mengenai pendidikan Islam.

Desakan itu terkandung dalam usul dibentang wakil Dewan Muslimat yang mencadangkan diwujudkan Pasti di Kampung Jawa Tawau, Andrassy dan Taman Sri Apas.

Sempena mesyuarat agung tersebut turut diadakan pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Tawau bagi menghadapi PRU15. – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -