Antara hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia

- Advertisement -

KESELESAAN dengan pangkat dan dunia hanya akan menyebabkan seseorang itu lebih menjaga hubungan dengan manusia berbanding hubungan dengan Allah, mendiam jaga kedudukan diri berbanding menegur manusia sekelilingnya.

Namun, orang yang melihat keselesaan dunia sebagai suatu yang sementara dan hubungan dengan Allah lebih besar di hadapan matanya pasti akan memilih untuk berkata benar dan menasihati orang di bawahnya, kerana sedar kecilnya kedudukan mereka berbanding kekuasaan Allah.

Ibn Al-Qayyim menukilkan bahawa suatu hari, telah sampai kepada pendengaran Umar bin Abd al-Aziz bahawa anak lelakinya telah membeli sebuah cincin berharga 1,000 dirham. 

Lalu beliau dengan segera mengutuskan surat kepada anaknya dengan katanya: 

- Advertisement -

“Sekiranya telah sampai kepadamu suratku ini, juallah cincin kamu itu dan berilah makan sehingga kenyang kepada 1,000 orang manusia.”

Kemudian Umar mengarahkan anaknya itu membeli cincin dengan harga 2 dirham dan disuruh supaya ditulis pada permukaan cincin tersebut: 

رَحِمَ اللهُ امْرَأً عَرَفَ قَدْر َنَفْسِه

“Semoga Allah merahmati seseorang yang mengetahui kadar kedudukan dirinya.”

 [Madarij al-Salikin oleh Ibn al-Qayyim, 2/331]

Sahabat-sahabat, apabila kamu berkuasa dan berharta, suaramu akan lebih didengar dan dituruti, tetapi bimbangnya kami jika kamu yang tidak bersuara lagi. Tergadai prinsip untuk keselesaan yang sementara.

 Maka, jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu, dan seandainya manusia bersatu untuk mencelakakanmu, mereka tidak akan dapat melakukannya kecuali dengan apa yang telah Allah tetapkan bagimu.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 1/8/2022

- Advertisement -