RUU Antilompat Parti lulus

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN dan SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat, hari ini, mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berhubung peruntukan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.

RUU ini diluluskan menerusi undi belah bahagian selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

- Advertisement -

Perbahasan berlangsung selama dua hari, bermula jam 12 tengah hari semalam hingga jam 4 petang ini. Seramai 54 Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik mengambil bahagian dalam perbahasan selama 10 jam itu, iaitu mewakili PAS, Barisan Nasional (BN), PKR, DAP, Amanah, Pejuang, Muda, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.

RUU ini kemudian digulung oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Undi belah bahagian yang dimulakan selepas penggulungan, iaitu kira-kira jam 4.49 petang menyaksikan seramai 209 Ahli Parlimen menyokong, tiada yang membangkang dan 11 tidak hadir.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, ketika mengisytiharkan keputusan berkata: “Syabas kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mencipta sejarah hari ini, undi yang bersetuju 209, tidak hadir 11.

“Maka lebih dua per tiga majoriti undi yang bersetuju, RUU ini dibacakan buat kali yang kedua sekarang,” katanya.

Terdahulu, Dr Wan Junaidi berkata, RUU itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan, selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

RUU ini memperuntukkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang bertukar parti, baik dalam gabungan sama atau berbeza akan kehilangan kerusi Parlimen disandang.

Selain itu, Ahli Dewan Rakyat yang meninggalkan parti politiknya selepas menang pilihan raya untuk menjadi wakil rakyat Bebas juga perlu mengosongkan kerusi disandang.

Bagaimanapun, RUU ini memperuntukkan beberapa pengecualian kepada wakil rakyat yang bertukar parti, antaranya Ahli Dewan Rakyat dipecat daripada partinya tidak perlu mengosongkan kerusi Parlimen disandang.

Pengecualian itu turut diberikan kepada mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

RUU ini turut menyediakan peruntukan sama untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dengan memasukkan seksyen baharu 7A ke dalam Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan.

Ketika penggulungan, Dr Wan Junaidi, mengakui bahawa RUU itu bukan penyelesaian mutlak terhadap masalah lompat parti, tetapi adalah sebagai langkah pertama.

Menjawab beberapa isu yang dibangkitkan ketika perbahasan seperti wakil rakyat Bebas atau yang menganggotai parti tertentu tetapi bertanding menggunakan logo pihak lain, katanya wakil rakyat berkenaan tidak dianggap melompat parti jika kembali sebagai ahli partinya atau kekal sebagai Bebas selepas menang pilihan raya.

Menurutnya, RUU ini juga tidak memerlukan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipecat untuk mengosongkan kerusi.

“Mereka hanya perlu mengosongkan kerusi disandang jika termaktub dalam perlembagaan parti, bahawa wakil rakyat itu perlu berbuat demikian sekiranya bertindak melanggar keputusan dan pendirian parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/22

- Advertisement -