Tiada sebab rakyat tolak kerajaan PN

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Impian sekian lama rakyat Kelantan untuk menikmati pembangunan seperti di negeri lain menjadi kenyatan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang.

Sedangkan pada era sebelum itu banyak projek pembangunan yang dirancang tidak menjadi kenyataan kerana halangan politik antara kerajaan negeri dan pusat.

Malah perkara itu turut diakui anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad apabila memberitahu banyak projek berimpak tinggi dilaksanakan di Kelantan sekarang.

- Advertisement -

Antara projek yang giat dilaksanakan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Central Spine Road dari Pahang ke Kuala Krai dan projek tebatan banjir di Sungai Golok.

Oleh itu, Hanifa berharap kerajaan PN yang ada sekarang terus dipertahankan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang bagi membolehkan lebih banyak projek berimpak tinggi dilaksanakan di Kelantan.

Exco kerajaan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad

“Kita kena sabar selagi kerajaan yang ada ini friendly dengan kita, kita doakan supaya hasrat ini berterusan dan dapat dicapai.

“Kita berada dalam kerajaan Persekutuan sejak dua tahun lalu di mana banyak kemajuan tidak disekat dan arus pembangunan datang,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Dialog Kemakmuran Ekonomi dan Pembangunan Negeri di Dewan Peniagaan Cina Kelantan di sini, kelmarin.

Mengulas perkembangan itu Adun Apam Putra, Abdul Rasul Muhamed berkata era pemerintahan kerajaan PN, rakyat Kelantan dapat merasai banyak projek berimpak besar.

Katanya, peranan itu merupakan tanggungjawab kerajaan Pusat mengagihkan sumber kekayaan negara kepada semua negeri supaya jurang pembangunan sama rata.

“Kelantan terpinggir dalam satu tempoh yang sangat lama, jadi dengan adanya kerajaan PN sekarang, banyak projek besar dilaksanakan,” katanya.

Presiden Pertubuhan Prihatin Royalti Untuk Rakyat Kelantan (R2R), Mohd Khalid Mat Zari turut menyifatkan perkembangan baik yang berlaku di Kelantan sekarang.

Mohd Khalid Mat Zari

Oleh itu, beliau mengajak rakyat Kelantan mempertahankan kerajaan Pusat yang ada sekarang bagi memastikan kelancaran pembangunan.

Menurutnya, menjadi satu kerugian rakyat yang menolak kerajaan PN kerana telah terbukti Kelantan tidak lagi didiskriminasi seperti sebelum ini.

“Rakyat mesti mempertahankan kerajaan PN demi melihat semua projek pembangunan di bawah peruntukan Pusat dapat diteruskan.

“Kerana semua ini memberi impak sangat besar kepada rakyat dan juga negeri Kelantan apabila semakin banyak pelaburan luar masuk,” katanya.
Penghulu Mukim Binjai, Mat Nor Ismail berkata, berdasar situasi yang ada sekarang tiada sebab kerajaan PN sekarang perlu ditukar.

Kata beliau PAS yang menjadi sebahagian parti kompenan dalam kerajaan Persekutuan dilihat sangat prihatin terhadap kebajikan rakyat.

“Kenapa pula kita kena tukar kerajaan sekarang kerana terbukti berlaku adil dan tidak lagi menyisihkan Kelantan yang agak ketinggalan berbanding negeri-negeri lain.

“Sepatutnya kerajaan PN perlu dipertahankan, dan kita tidak mahu sejarah Kelantan disisih dalam tempoh begitu lama dibiarkan berulang semula,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/7/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -