Berhelah halalkan yang haram adalah dosa atas dosa

- Advertisement -

BERHELAH menghalalkan yang haram adalah dosa di atas dosa. Ia seperti menghalalkan riba dengan nama akad jual beli atau menghalalkan judi atas nama program amal kebajikan.

Antara dosa berganda menghalalkan perkara yang haram dengan cara berhelah di dalam kehidupan harian hari ini adalah perlakuan sesetengah wanita Muslimah yang memakai tudung kepala demi menghalalkan pakaian nipis, ketat serta tabarruj, solekan dan hiasan jahiliyah ke atas tubuh mereka.

Mereka mendakwa berpahala menutup aurat, sedangkan merekalah yang mengusung dan menjaja bakul fitnah wanita (fitnatul nisa’) sebaik sahaja mereka keluar dari rumah pada waktu pagi sehinggalah mereka pulang pada waktu petang.

Apa erti mengalun zikir di lidah untuk menghalalkan perbuatan mengumpat, memfitnah, memakan perkara yang haram, mencuri, merasuah dan menzalimi.

Menutup aurat wanita atau lelaki bermaksud menjaga aurat dengan sempurna agar terjagalah maruah diri dan masyarakat Islam daripada fitnah kehidupan yang didendang oleh tentera iblis dan syaitan daripada kalangan jin dan manusia.

Justeru bertakwalah kepada Allah dengan saling berpesan sesama kita demi agama anak-anak, suami dan isteri serta seluruh wanita Muslimah.

Jangan pula pahala menutup aurat bertukar menjadi bala yang tidak disangka-sangka pada kemudian hari:

“Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang amat nyata.” – al-Quran

USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 22/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -