Pegawai PPD ejen transformasi pendidikan

- Advertisement -

MALAM tadi saya bertemu dengan 146 pegawai PPD yang menyertai siri kedua Konvensyen PPD di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Mereka terdiri daripada pegawai PPD dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur, Sabah dan Labuan.

Ini adalah susulan konvensyen pertama minggu lalu yang melibatkan seramai 142 pegawai PPD dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Pahang dan Sarawak.

Pada kesempatan ini saya berkongsi mengenai dasar, hala tuju, perancangan serta langkah-langkah yang akan dan telah diambil KPM dalam mentransformasi pendidikan serta peranan yang harus dimainkan pegawai PPD bagi memastikan perubahan yang digariskan dilaksana dan mencapai objektif ditetapkan. 

Antara penekanan yang digariskan adalah; 

1. Pegawai PPD seharusnya menjadi ejen yang bertanggungjawab menyebarluas dan menjelaskan mengenai dasar, perancangan serta hala tuju pendidikan negara yang digaris KPM kepada kumpulan sasar iaitu guru, sekolah dan ibu bapa.

2. Pegawai PPD perlu sentiasa hadir di sekolah bagi mengenal pasti masalah, keperluan serta mencari penyelesaian segera kepada perkara tersebut. PPD perlu menjadi pemudahcara antara pihak sekolah dengan JPN dan juga KPM sekiranya perkara tersebut tidak boleh diselesaikan di peringkat PPD.

3. Persepsi atau tanggapan kehadiran PPD di sekolah sebagai ‘mencari salah’, perlu diubah. Sebagai institusi yang paling dekat dengan sekolah, PPD perlu menjadi rakan yang sentiasa berusaha membantu sekolah.

4. Mengukuhkan keyakinan serta kepercayaan antara PPD-Sekolah-Guru. Hubungan baik antara PPD, pentadbir sekolah dan guru akan membantu kelancaran pelaksanaan setiap dasar, perancangan serta transformasi pendidikan yang digariskan kementerian.

Untuk memastikan pegawai PPD dapat menjalankan tanggungjawab dengan cekap dan secara optimum, KPM sentiasa berusaha memperkasakan sistem penyampaian agar maklumat yang tepat dapat disalurkan antara KPM-JPN-PPD-Sekolah.

Dengan pengalaman serta hubungan baik sedia ada antara PPD, sekolah dan juga guru, saya yakin usaha memperkukuh peranan pegawai PPD ini boleh dilakukan seiring transformasi pendidikan yang digariskan KPM. 

Bersama lakukan perubahan!
Nothing beats hard work!

YB DATUK DR RADZI JIDIN
Menteri Kanan Pendidikan – HARAKAHDAILY 22/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -