Terminal Kota Bharu Sentral dijangka siap 2025

Terminal bas sementara.
- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu Sentral yang baharu dijangka siap pada hujung 2025 bagi menggantikan terminal bas sementara di Lembah Sireh.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Dato’ Azami Mohd Nor berkata, setakat ini kerajaan negeri telah memulakan inisiatif untuk membina terminal bas bersepadu dengan mengeluarkan ‘Request For Proposal’ (RFP) bagi projek pembangunan Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu Sentral pada hujung 2020.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, proses RFP itu sedikit tergendala disebabkan pandemik Covid-19 melanda negara yang menjadikan sebarang aktiviti tidak dapat dilaksanakan ketika itu.

“Pada 1 Jun 2022 kerajaan negeri telah memilih satu syarikat yang disenaraikan dalam bursa saham kategori papan utama untuk melaksanakan pembangunan terminal ini di atas tanah seluas 6.9 hektar yang merangkumi stesen bas bersepadu, bangunan komersial dan pangsapuri.

“Oleh itu, terminal stesen bas bersepadu yang baharu ini dijangka siap pada hujung 2025 manakala keseluruhan pembangunan yang lain akan siap dalam tempoh sembilan tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, suasana persekitaran di terminal bas sementara Lembah Sireh, di sini, dilihat tidak selesa dan kekurangan pelbagai kemudahan. – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -