Allahyarham Khairul Azlam tidak lokek ilmu, komited bertugas

Zuraida menzirahi isteri Allahyarham Khairul Azlam (terlindung) bersama muslimat.
- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA NERUS:
Kematian Penolong Pengarang Harakah, Khairul Azlam Mohamad, 51, disifatkan satu kehilangan besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita di Terengganu, Zuraida Md Noor berkata sukar untuk mencari pengganti sebagaimana komitednya arwah bekerja.

“Saya terasa sangat (kehilangan), baru sangat (berjumpa) dengan dia, arwah sentiasa cover program kita.

“Khairul ini dia sangat commit dengan parti, kita terasa sangat sebab kita nak cari orang yang macam dia tu payah. Hubungan antara dia dengan YB-YB pun sangat baik.

- Advertisement -

“Dia tidak lokek, dia sokmo buat berita. Kita tak nampak pun dia berehat, selalu buat berita. Kalau macam program saya sokmo dia akan mari, jemput je dia akan mari,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di rumah arwah di Taman Perumahan Permint Perdana Seberang Takir, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut katanya, terakhir bekerjasama dengan arwah pada program menonton filem Mat Kilau.

“Last (jumpa) dia masa tengok cerita Mat Kilau dengan budak-budak dalam 300 orang, dia interviu gini la, pasal perjuangan orang muda, pasal Melayu berpecah.

“Lepas tu dia ada WhatsApp ke saya, hantar la gambar ke dia, dia boleh up berita. Last dia mesej saya dua tiga hari lepas.

“Saya rasa hampir setiap minggu jumpa, Baru ni dia pergi misi Mindanao, saya pergi Vietnam dan Kemboja misi juga, lepas tu tak jumpa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kematian Allahyarham yang juga Presiden Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) kehilangan yang tidak disangka-sangka.

“Pemergian yang tidak disangka-sangka, macam kehilangan besarlah bukan sahaja di peringkat PAS Malaysia tapi juga di Terengganu yang terasa sangat sebab dia orang bijak, orang lama. Masa saya masuk bidang politik pun dia sudah ada, dia sudah bersama dengan kita.

“Kemudian dia tidak lokek dari segi ilmu, bekerja. Dulu dia pernah eksiden lama, bertongkat pun dia buat kerja. Walau dengan keadaan demikian dia tetap pergi ke program-program,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Ameerah Malaysia yakin isteri arwah seorang yang kuat semangat.

“Isteri arwah pun orang yang mengikuti jemaah sepenuhnya, anak-anak pun. Saya yakin isteri dia kuat tetapi saya harap ada sokongan lah dari segi (kewangan).

“Anak dia ramai anak 9 orang, 7 orang lagi masih sekolah. Jadi yang sekolah itulah yang perlu sokongan tetapi saya yakin duduk dalam perjuangan, dalam PAS ini tidak akan disisihkan, bahkan wakil-wakil rakyat yang baik dengan Khairul memang tidak akan tinggalkan keluarga ni.

“Saya harap juga muslimat di sini atau muslimat negeri akan sentiasa mengambil berat tentang anak dan isteri dia di sini, insya-Allah.

“Juga saya doakan semoga isteri dan anak-anaknya kena kuat. Sebab kematian ini mengejut, kalau sakit tu kita bersedia. Harapannya (keluarga arwah) meneruskan hidup ni dan kita berikan sokongan kepada keluarga arwah,” katanya.

Khairil Nizam menyampaikan sumbangan kepada isteri Allahyarham Kahirul Azlam.

Hadir sama melawat isteri arwah ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.– HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -