Amar maaruf nahi mungkar wajib ditegakkan

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan manusia yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang maaruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung”.

(Aali Imran: 104)

Amar Maaruf adalah menyuruh dan menyeru kepada kebaikan (kepatuhan kepada perintah Allah), manakala Nahi Mungkar pula adalah mencegah dan melarang daripada perkara kemungkaran (maksiat dan derhaka kepada Allah). Amar Maaruf dan Nahi Mungkar merupakan tuntutan kepada semua pihak.

Sabda Rasulullah S.A.W:

عَنْ أَبِي سَعِيْد الْخُدْرِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَراً فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ اْلإِيْمَانِ.

“Dari Abu Sa’id Al Khudri R.A berkata: Saya mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka ubahlah dengan lisannya, jika tidak mampu maka ubahlah (tolaklah) dengan hatinya dan hal tersebut adalah selemah-lemahnya iman.” 

(Riwayat Muslim)

Dalam melaksanakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar, pelbagai peringkat dan pendekatan boleh dipergunakan secara bijaksana.

Pemerintah perlu menggunakan kuasa pemerintahan dengan melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang. Ini antara yang terkandung di dalam perintah mencegah dengan tangan. Ianya boleh dipraktikkan di semua peringkat termasuk di dalam keluarga oleh bapa dan ibu terhadap anak-anak mengikut kesesuaian hal.

Kaedah kedua adalah melalui lisan atau percakapan iaitu merangkumi kata-kata nasihat, teguran, pengajaran, tunjuk ajar dan lain-lain mengikut keadaan. Ia juga mungkin boleh dilakukan melalui kaedah perbincangan atau perdebatan untuk menyampaikan hujah dan maklumat yang meyakinkan. Ianya boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan mahu pun oleh pihak kerajaan.

Peringkat ketiga adalah mengingkari dan membenci dengan hati. Peringkat ini adalah bagi individu yang tiada kekuatan dan autoriti. Ianya merupakan peringkat keimanan yang paling lemah di mana individu tersebut akan berusaha mengelakkan diri sendiri daripada terlibat sama dengan pelanggaran etika dan kemungkaran tersebut.

Penyampaian informasi yang berkesan dan mudah difahami serta penguatkuasaan undang-undang adalah elemen yang penting dalam kita menjayakan Amar Maaruf dan Nahi Mungkar

Mutakhir ini kita dikejutkan dengan pelbagai pelanggaran terhadap tata susila dan peradaban termasuk perbuatan mempersendakan agama Islam yang di luar jangka.

PAS Johor mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kerajaan Malaysia di atas tindakan tegas dan drastik yang diambil terhadap pihak yang tanpa segan silu dan tanpa memikirkan sensitiviti agama dan masyarakat mempersendakan agama Islam. Semoga tindakan tegas ini dapat dijadikan pengajaran dan peringatan dalam mendidik dan mendisiplinkan seluruh warga dan ahli Keluarga Malaysia tercinta ini.

Kalau Tuan ke Pekan Seterpa,
Jangan dilupakan kuih bahulu,
Usahlah kita leka dan alpa,
Jagalah iman carilah ilmu.

“Islam Menyatukan Ummah”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI,
Ketua Penerangan PAS Negeri Johor – HARAKAHDAILY 18/7/2022

- Advertisement -