Misi menumbangkan DAP di Pulau Pinang bukan mustahil

- Advertisement -

SUDAH tiga penggal DAP menerajui Pulau Pinang, iaitu bermula dari PRU ke-12 tahun 2008. Setelah beberapa kali Projek Tanjung yang dilancarkan oleh DAP untuk menawan Pulau Pinang gagal, pada PRU ke-12 DAP berjaya.

Kejayaan DAP pada ketika itu adalah disebabkan dua faktor utama. Yang pertamanya, pengundi Melayu di Pulau Pinang berjaya dipecahkan dan yang keduanya, pengundi Cina berjaya diyakinkan oleh DAP sebagai pembela kaum Cina.

Meskipun Pak Lah yang berasal dari Pulau Pinang ketika itu menjadi Perdana Menteri, penentangan Dr Mahathir terhadap Pak Lah menyebabkan Umno Pulau Pinang pun tidak solid di belakang Pak Lah.

PKR dan PAS yang ketika itu dalam Barisan Alternatif (BA) telah berjaya menarik sokongan sebahagian pengundi Melayu Pulau Pinang. Walaupun ketika itu DAP bukan anggota BA, sokongan pengundi Melayu BA berjaya dimanfaatkan oleh DAP.

Pengundi Cina pula pasca kemenangan besar BN dalam PRU ke-11 tahun 2004, sejak itu telah beralih arah. Usaha DAP untuk mendekati pengundi muda Cina sejak awal alaf baru ketika itu mula menampakkan hasil.

Muka-muka baru pimpinan DAP menjelang PRU ke-12 berjaya mengalihkan sokongan pengundi Cina daripada Gerakan dan MCA kepada DAP. Pada ketika itu, DAP menjadi sandaran harapan baru kepada pengundi Cina khususnya di Pulau Pinang.

Setelah tiga penggal DAP menerajui Pulau Pinang, pembangunan Pulau Pinang jelas sekali tidak seimbang. Pulau Pinang tidak dibangunkan mengikut acuan Malaysia, sebaliknya mengikut acuan penjajah yang melahirkan seumpama Hong Kong.

Kaum bumiputera yang merupakan penduduk asal Pulau Pinang semakin terpinggir, malah tanah-tanah milik mereka semakin tinggal sekangkang kera di sebelah pulau. Penempatan mereka akan bertukar menjadi rumah kedua kepada warga asing.

Projek PSR yang bakal meminggirkan kaum Bumiputera khususnya para nelayan di Selatan dan Barat Daya pulau itu tetap mahu terus diusahakan oleh DAP, walaupun EIA projek tersebut telah pun dibatalkan baru-baru ini. 

Kawasan-kawasan yang masih ramai penempatan Melayu seperti di Kepala Batas, Tasik Gelugor dan Nibong Tebal semakin terganggu dengan pencemaran termasuk ternakan khinzir, seolah-olah mahu mengganggu keselesaan hidup mereka.

Sekiranya DAP terus menerajui Pulau Pinang selepas PRU ke-15, pembangunan yang tidak seimbang ini akan berterusan, dan akan muncul sebuah negeri di Malaysia yang membangun tidak mengikut acuan jati diri negara.

Oleh sebab itu, dominasi DAP di Pulau Pinang perlu ditamatkan. Tiada yang mustahil, sekiranya ummah bersatu hati dan kaum-kaum lain menolak sikap ekstrem DAP, parti tersebut berjaya ditumbangkan pada PRU akan datang.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja 
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -
- Advertisement -