Kesamaran warna biru dengan BN dibincang Majlis Tertinggi PN

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kesamaran warna biru antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, situasi tersebut pernah menghantui pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.

Katanya, pimpinan tertinggi PAS dan Bersatu memandang serius isu yang menjadi punca utama kekalahan PN dalam PRN terbabit.

- Advertisement -

“Sebahagian pengundi keliru, warna sama PN dan BN warna hampir biru yang sama, ada penyokong yang sokong PN tetapi tersilap mengundi BN, jadi mereka konfius kerana warna.

“Jadi kita setuju mengkaji keperluan warna yang berbeza dengan BN dan juga parti-parti lain, termasuk penggunaan logo bagi PN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Rakyat Aidiladha Parlimen Kubang Kerian di di Bandar Satelit Pasir Tumboh hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua PAS Kubang Kerian Abdul Rahman Yunus, anggota Exco Kerajaan Negeri Dato’ Mumtaz Md Nawi dan ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, PAS tidak mempunyai masalah untuk menggunakan apa sahaja logo yang diputuskan selagi dasar perjuangan parti tidak diabaikan.

Menurutnya, perkara itu pernah menjadi polemik sejak dahulu lagi, malah ahli parti sentiasa menghormati sebarang keputusan yang diputuskan pimpinan tertinggi.

“PAS ada pengalaman menggunakan logo BN dan logo lain seperti bulan dan bintang, tangan dan ada yang pernah diharamkan penggunaannya,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 12/7/2022

- Advertisement -