‘Kita semua berjuang untuk agama Allah, harus bersabar’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Kalian semua berjuang menegakkan keindahan syariah di industri kewangan, saya pula berjuang di lapangan saya. Kita semua berjuang untuk agama Allah. Pokoknya kita harus bersabar,” kata Senator Datuk Idris Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu menyatakan demikian menerusi laman Facebooknya, malam tadi susulan beliau bertemu dengan Ahli-ahli Penasihat Syariah dan pegawai syariah di institusi kewangan Malaysia, petang semalam.

Menurutnya, ahli-ahli syariah di institusi kewangan amat dekat di hati beliau.
“Kebetulan dua orang kekanda saya, Dato’ Seri Hassan Ahmad, mantan Mufti Pulau Pinang dan Almarhum Dato’ Saleh Ahmad, Ahli Fatwa Negeri, memang terlibat sebagai Ahli Majlis Penasihat Syariah di institusi perbankan Islam,” ujarnya.

- Advertisement -

Semalam telah berlangsung Muzakarah Ahli Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia (MPS) kali ke-16 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti, YaPEIM (Official), ISRA, PNB, Bank Islam, AIBIM dan ASAS. Turut hadir bersama mufti-mufti negeri-negeri.

Menurutnya lagi, muzakarah sehari itu membincangkan tajuk-tajuk berkaitan pelaburan emas di mana pakar-pakar syariah berhimpun dan berbincang bersama pihak industri.

“Inilah peranan JAKIM selaku agensi penyelaras hal ehwal Islam menyediakan platform perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan seperti Bank Negara, Suruhanjaya Sekuriti dan lain-lain. Semuanya demi maslahah umat Islam.  

“Saya berkata, adalah menjadi tugasan para ilmuan dan cendekiawan untuk memberikan garis panduan dan bimbingan kepada masyarakat.

“Jika kita menyentuh berkenaan agenda pematuhan syariah dalam hal-hal kewangan, masyarakat. Apatah lagi melibatkan pelaburan emas,” katanya.

Tambahnya, bagi pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), beliau sentiasa mengalu-alukan penglibatan pakar-pakar syariah untuk memberi penerangan kepada masyarakat di TV Alhijrah, Radio IKIM dan Penyiaran JAKIM.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi MPS, Prof Dr Ashraf Md Hashim dan ahli muzakarah yang telah memberi komitmen.

“Tahniah kepada JAKIM dan semua agensi yang terlibat dalam menjayakan penganjuran muzakarah ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 24/6/2022

- Advertisement -