PAS Johor kehilangan tokoh istiqamah

KUALA LUMPUR: PAS Johor telah kehilangan seorang tokoh istiqamah dalam kalangan Assabiqun, Haji Abdul Kadir Alias, 80, yang telah kembali ke rahmatullah di Hospital Batu Pahat, jam 11.20 pagi, semalam.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Abdullah Husin berkata, banyak jasa Allahyarham kepada PAS Johor.

Menurutnya, Allahyarham adalah pernah menjadi bendahari PAS negeri sekitar tahun 1970-an dan 1980-an serta Setiausaha PAS Batu Pahat selama 18 tahun.

Advertisement

“Saya sangat mengenali Allahyarham Haji Abdul Kadir. Jasanya amat besar buat PAS Negeri Johor. Semoga Allah SWT mengurniakan maghfirah dan rahmat yang luas kepada Almarhum dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya dalam catatan di Facebook beliau, semalam.

Tambahnya, pemergian Allahyarham satu kehilangan yang cukup besar bagi PAS Johor.

Beliau bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Johor mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Almarhum.

“Harap reda dan bersabar dengan ujian Allah. Moga rohnya ditempatkan bersama para solihin dan mendapat reda serta syurga Allah SWT.

“Kita yang masih hidup ini perlu menyambung dan meneruskan perjuangan Almarhum,” ujarnya lagi.

Katanya, Almarhum merupakan bapa mertua kepada Bendahari PAS negeri, Ustaz Sallehuddin Mohd Dahiran dan AJK Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Yuhanas Misuan.

Sementara itu, Sallehuddin dalam ruangan komen menyatakan beliau mewakili seluruh keluarga Almarhum mengucapkan terima kasih kepada Pesuruhjaya PAS negeri dan sahabat-sahabat atas penghormatan, ucapan dan doa-doa.

Menurutnya, jenazah Almarhum telah selamat disemadikan di Kampung Sungai Buloh, Senggarang, sekitar jam 6 petang semalam. – HARAKAHDAILY 24/6/2022