Pujian untuk Mahkamah Syariah Pulau Pinang

- Advertisement -

PAGI ini saya membantu sebuah keluarga untuk menyelesaikan kes mereka di Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang.

Sebaik sahaja sampai di tempat parkir Mahkamah jam 8:55 pagi, saya dapati lengang tiada kenderaan kecuali 2-3 kereta sahaja.

Hati saya jadi tidak sedap. Lazimnya tempat parkir akan penuh dengan kenderaan peguam dan para pelanggan Mahkamah.

Apabila saya masuk ke dalam bangunan Mahkamah, tiada seorang pun pelanggan kelihatan. Sedangkan kebiasaannya akan sibuk dan penuh dengan manusia.

Sebaik sahaja masuk ke dalam Dewan Perbicaraan, saya dapati hanya keluarga yang saya bantu sahaja kelihatan. Tiada seorang pun selain mereka.

Saya bergegas ke kaunter, rupanya semua kes tangguh hari ini. Habislah, macam mana nak terangkan kepada pelanggan. Mereka datang dari jauh dengan kapal terbang.

Rupanya, pihak Mahkamah telah memaklumkan kepada saya mengenai penangguhan kes melalui WhatsApptetapi tidak sampai kerana saya tukar handphone baru. 

Apabila saya maklumkan kepada keluarga terlibat mengenai penangguhan kes, masing-masing berubah wajah. Memang mereka terkejut, masing-masing datang dari jauh, belanja tiket kapal terbang dan hotel.

Dengan rahmat Allah S.W.T, tiba-tiba kakitangan Mahkamah maklumkan kepada saya bahawa Hakim bersedia untuk teruskan kes saya untuk merekodkan Penghakiman Persetujuan.

Y.A. Hakim juga meminta kami tunggu sebentar kerana semua hakim terlibat dengan program online dengan BNM.

Alhamdulillah. Dengan izin Allah S.W.T, urusan keluarga tersebut dipermudahkan dengan layanan baik dan perkhidmatan cemerlang yang diberikan oleh pihak Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang.

- Advertisement -

Saya teringat Hadis berikut. Dari Ibnu ‘Umar, Nabi S.A.W bersabda:

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat Muslim yang lain bahagia, mengangkat kesusahan daripada orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Sungguh aku berjalan bersama saudaraku yang muslim untuk sebuah keperluan lebih aku cintai daripada beri’tikaf di masjid ini -masjid Nabawi- selama sebulan penuh.”

(Hadis Riwayat Tabrani di dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280)

Kesimpulan. Perkhidmatan yang sentiasa mempermudahkan urusan orang ramai sebenarnya mudah untuk mendapat pahala yang besar daripada Allah S.W.T. Sehinggakan Nabi S.A.W membandingkan perbuatan mulia memudahkan dan menunaikan keperluan dan hajat manusia lebih Baginda sukai berbanding dengan iktikaf di Masjid Nabi di Madinah selama sebulan. Begitulah besarnya pahala membantu urusan orang ramai.

AHMAD JAILANI ABDUL GHANI – HARAKAHDAILY 13/6/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/725494683/posts/10160515298694684/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -