GST 2.0 wajar ditetap kadar lebih rendah

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dicadang diperkenalkan semula kerajaan perlu diperkemaskan semula dengan kadar lebih rendah iaitu 3 peratus.

Pengarah Urusan Firma JTB Partners Sdn Bhd, Saizol Ismail berkata, GST boleh membantu kerajaan bagi memulih semula ekonomi negara pasca pandemik Covid-19.

Bagaimanapun katanya, sebelum ia diperkenalkan semula kerajaan perlu melaksanakan beberapa inisiatif dan penambahbaikan.

- Advertisement -

“Antaranya agensi pelaksana perlu diberikan latihan mencukupi selain memperketatkan lagi penguatkuasaan akta berkaitan.

“Ia termasuk Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan untuk menaikan harga barangan,” katanya dihubungi di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan mengkaji semua sistem percukaian termasuk GST sama ada ia wajar atau tidak untuk dilaksanakan semula.

Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilapor berkata sebanyak 175 negara telah memperkenalkan GST.

Oleh itu katanya kajian berkaitan GST akan dibawa ke kabinet dan keputusan muktamad pelaksanaannya akan dibuat dibuat di Parlimen.

GST buat kali pertama dilaksanakan di negara ini pada 1 April 2015 pada kadar 6 peratus ketika pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak.

Bagaimanapun ia kemudiannya digantung pada 1 Jun 2018 dan akhirnya dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan digantikan dengan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September 2018.

Saizol juga berkata, pelaksanaan GST mampu mengawal ketirisan cukai sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara. – HARAKAHDAILY 9/6/2022

- Advertisement -