Aspirasi Stong Geopark miliki khazanah geologi unik

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA KRAI:
Aspirasi Stong Geopark (ASG) yang merangkumi kawasan di Dabong dan Jeli memiliki khazanah sejarah geologi yang unik.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, lokasi itu mempunyai kepelbagaian biologi, warisan sejarah dan kekayaan sumber budaya setempat.

Katanya, ia berpotensi untuk diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan pertama di Kelantan tahun ini kerana memiliki keunikan geologi dan landskap bukit batu kapur.

- Advertisement -

“Perancangan pembangunan di kawasan tersebut akan dilakukan secara teliti dan bersepadu melibatkan agensi Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat bagi memastikan impak projek ASG dapat dinikmati bersama.

“Kerajaan Pusat akan terus membantu Kelantan bagi pembangunan Stong sebagai Geopark Kebangsaan dalam aspek saintifik, teknikal dan program kesedaran bersama komuniti,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja ke ASG di di sini hari ini.

Turut hadiri Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains, Hisamuddin Termidi.

Takiyuddin juga berkata, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli memperuntukkan RM300,000 di bawah Program Pemerkasaan Ekopelancongan Sumber Asli ke arah Pembangunan Ekonomi Setempat tahun 2022 bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di beberapa geopark.

Menurutnya juga pengiktirafan geopark kebangsaan akan memberi impak sektor pelancongan dan membantu masyarakat setempat meneroka peluang ekonomi. – HARAKAHDAILY 9/6/2022

- Advertisement -