RIYADH: Seorang lelaki Arab Saudi berdepan hukuman penjara 10 tahun dan denda SR30 juta (RM35 juta) kerana memelihara tiga ekor singa secara haram di pusat peranginan peribadinya di sini.
Pasukan dari Pusat Hidupan Liar Kebangsaan (NCW) , dengan kerjasama Pasukan Khas untuk Keselamatan Alam Sekitar (SFC) Saudi mula menyiasat laporan bahawa tiga ekor singa dipelihara di rumah rehat mewah milik lelaki yang terletak di ibu negara Saudi itu, satu tindakan yang dianggap melanggar undang-undang alam sekitar negara.
Dalam serbuan tersebut, tiga ekor singa tersebut telah dibius sebelum dipindahkannya ke salah satu unit penjagaan haiwan di SFC.
Terdahulu, Kementerian Alam Sekitar, Air dan Pertanian Saudi telah mula melaksanakan undang-undang yang ketat untuk mengawal kegiatan memburu haiwan liar di Saudi bagi melindungi spesies hidupan liar negara itu.
Undang-undang itu menetapkan bahawa pemburu haram akan berdepan hukuman berat bagi mana-mana amalan yang tidak dibenarkan.
Sehubungan itu, kementerian berkenaan telah menetapkan penalti bagi amalan yang tidak dibenarkan, termasuk penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM35 juta bagi kesalahan tersebut jika dilakukan dua kali atau lebih dalam tempoh satu tahun. – Arab News