PAS-Bersatu-Umno Ketereh terus mantap hubungan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Biarpun Umno Kelantan di bawah Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub memutuskan hubungan dengan PAS, namun Umno di Ketereh masih lagi mempertahankan Muafakat Nasional (MN).

Malah hubungan Perikatan Nasional (PN) antara PAS-Umno-Bersatu terus mantap dengan mengadakan gerak kerja terutamanya program kebajikan secara bersama.

Ketua Dewan Ulama PAS Ketereh Ishak Hassan berkata, PAS, Umno dan Bersatu di Ketereh agak berbeza kerana masih lagi menjalinkan kerjasama.

- Advertisement -

“Kita di Ketereh berlainan sedikit dengan tempat-tempat lain, kita bersama Umno dan Bersatu terus mendukung semangat perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

“Walaupun Umno di peringkat negeri tidak mahu, tetapi kita di Ketereh tetap bersama memperkukuhkan jalinan ukuhuwah demi persaudaraan sesama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Bersama Komuniti Keluarga Malaysia di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan di Padang Kala di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat, Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa, Adun Kok Lanas Dato Seri Md Alwi Che Ahmad dan pimpinan Umno bahagian berkenan.

Kira-kira 20,000 pengunjung hadir pada program tersebut yang menyediakan makanan pelbagai menu.

Pada 23 Januari lepas Umno Kelantan membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PAS negeri berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Ahmad Jazlan, Umno membuat keputusan itu berikutan PAS masih menjalin kerjasama dengan Bersatu. – HARAKAHDAILY 30/5/2022

- Advertisement -