KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) akan membina sebuah Rumah Pam Kemubu 3 bernilai RM34 juta, sebagai persediaan untuk mengatasi masalah kekurangan sumber air terutama ketika berlaku musim kemarau.
Pengurus Besar KADA Nik Roslan Idris berkata peruntukan bagi pembinaan pam berkenaan, telah diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan dijangka akan mula dibina pada akhir tahun ini, sebelum siap sepenuhnya pada tahun 2024.
Beliau berkata pam terbabit juga dapat mengatasi isu utama pesawah di Kelantan yang berdepan dengan masalah kekurangan sumber air, kerana ia mampu dipam walaupun berada pada paras cetek.
“Pembinaan Pam Kemubu 3 ini merupakan antara inisiatif jangka panjang KADA, untuk mengatasi masalah kekurangan sumber air yang terpaksa ditanggung oleh pesawah, terutama ketika musim kemarau.
“Tindakan ini juga diambil memandangkan pam sedia ada di Kemubu, Lemal dan Kasa, tidak dapat beroperasi sebaik mungkin apabila musim kemarau, kerana air tidak dapat dipam berikutan paras Sungai Kelantan menjadi cetek,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri KADA di Ibu Pejabat KADA, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Roslan berkata pihaknya juga telah membuat persediaan dengan menyediakan sebanyak kira-kira 300 buah pam, termasuk pam bergerak dan ‘Backward Pump’, memandangkan ketika ini telah berlaku musim kemarau sejak pertengahan Mei lalu.
Katanya, antara jajahan yang berisiko terjejas pada musim kemarau ini adalah Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, yang membabitkan sekitar lebih 2,000 pesawah.
“Kebiasaanya apabila kita berdepan dengan musim kemarau seperti tahun 2019, apa yang kita buat adalah membekalkan pam mudah alih kepada pesawah yang menghadapi masalah bekalan air, yang mana ia mampu membekalkan air sekitar 10 hingga 100 ekar bergantung kepada jenis pam.
“Pam-pam mudah alih ini akan mengambil sumber air yang berada di kawasan sekitar sekiranya pam utama tidak dapat digunakan,” katanya yang menambah telaga tabung akan digunakan, sekiranya kawasan terbabit terjejas teruk disebabkan musim kemarau. – BERNAMA
KADA bakal bina Rumah Pam Kemubu 3
Persediaan musim kemarau
- Advertisement -