Cacar monyet jangkiti gay dan biseksual

Partikel virus cacar monyet yang dambil dari kulit manusia yang dijangkiti penyakit ini.
- Advertisement -

Sesiapa sahaja boleh mendapat atau menyebarkan cacar monyet, tetapi perkembangan di Eropah dan Amerika Syarikat dalam penularan terbaharu wabak global ini menunjukkan kebanyakan kes membabitkan golongan lelaki gay dan biseksual.

Perkara ini didedahkan oleh Ketua Pegawai Perubatan Bahagian Pencegahan HIV/AIDS Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, Dr John Brooks.

- Advertisement -

Menurutnya, sesetengah kumpulan sekarang mungkin mempunyai peluang yang lebih besar untuk terdedah, tetapi ini tidak bermakna risiko ketika pendedahan kepada cacar monyet adalah eksklusif kepada komuniti gay dan biseksual di Amerika Syarikat (AS).

“Sesiapa sahaja boleh menyebarkan jangkitan cacar monyet, tetapi … kebanyakan mereka yang terjejas dalam wabak global semasa dikenal pasti sebagai lelaki gay dan biseksual,” katanya yang menyatakan bahawa terdapat satu kes cacar monyet yang disahkan dan empat kes yang disyaki di AS.

Kes yang disahkan membabitkan seorang lelaki di Massachusetts dan empat kes orthopox membabitkan lelaki di New York, Florida dan Utah. Orthopox merujuk kepada virus cacar secara umum.

“Kemungkinan terdapat kes lain yang dilaporkan di Amerika Syarikat,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Patogen dan Patologi Impakt Tinggi CDC yang juga seorang doktor veterinar, Dr Jennifer McQuiston.

Brooks berkata, CDC memutuskan untuk mengadakan sidang akhbar mengenai wabak itu sekarang kerana Bulan Kebanggaan LGBTQ biasanya bermula sekitar hujung minggu Hari Peringatan dan pegawai ingin memastikan masyarakat menyedari situasi itu.

Beliau juga menggesa doktor supaya berhati-hati terhadap penyakit itu, kerana ia boleh kelihatan seperti jenis penyakit kelamin (STD) lain.

“Dalam sesetengah kes, ketika peringkat awal penyakit, kebanyakan ruam berada di kawasan kemaluan dan perianal. Dalam beberapa kes, ia menghasilkan luka dubur atau alat kelamin yang kelihatan seperti penyakit lain seperti herpes atau cacar air atau siflis,” kata Brooks.

“Apa yang kami cuba lakukan ialah untuk mengingatkan orang ramai yang mungkin menyangka keadaan yang dialami adalah STD, tetapi kami menyatakan bahawa ia juga boleh jadi cacar monyet,” katanya.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kes cacar monyet biasanya berlaku di Afrika Barat dan Tengah, tetapi penyakit ini kini dikesan di kawasan yang biasanya penyakit itu tidak berlaku seperti Kanada, Portugal, Sepanyol, United Kingdom (UK) dan AS.

Cacar monyet bukan penyakit kelamin, tetapi boleh merebak melalui hubungan intim ketika hubungan seks apabila seseorang mengalami ruam aktif.

Ia juga boleh merebak melalui titisan pernafasan yang besar, tetapi oleh kerana titisan besar tidak bergerak jauh di udara, sentuhan perlu berpanjangan untuk ini berlaku.

Di Portugal, pihak berkuasa kesihatan mengesahkan lima kes cacar monyet di kalangan lelaki muda dan Britain pula mengumumkan dua lagi kes, menandakan wabak luar biasa di Eropah bagi penyakit yang biasanya hanya berlaku di benua Afrika.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dapati kebanyakan yang terjejas akibat cacar monyet adalah golongan gay dan biseksual

Ketua Pengarah Kesihatan Portugal menyatakan bahawa siasatan juga dilakukan terhadap 15 kes lain yang disyaki cacar monyet di sekitar Lisbon

Semua kes di Portugal membabitkan lelaki yang kebanyakan muda, namun pihak berkuasa tidak menyatakan sama ada mereka mempunyai sejarah perjalanan ke Afrika atau sebarang kaitan dengan kes baru-baru ini di Britain atau di tempat lain.

Pihak berkuasa kesihatan UK pula memberitahu bahawa kes yang berlaku di negara itu membabitkan mereka yang tidak pernah pergi ke Afrika sebelum ini dan kemungkinan mereka dijangkiti di UK.

Ketua Penasihat Perubatan Agensi Keselamatan Kesihatan UK, Dr Susan Hopkins, berkata kes terbaharu serta jangkitan lain yang dilaporkan di Eropah, mengesahkan kebimbangan awal bahawa mungkin terdapat penyebaran cacar monyet dalam komuniti negara itu.

Agensi itu berkata, kes kebelakangan ini dilihat kebanyakan membabitkan golongan gay, biseksual atau lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, walaupun ia menyatakan tidak jelas bagaimana sebenarnya mereka telah dijangkiti.

Pihak berkuasa kesihatan di wilayah Madrid, Sepanyol, pula sedang menilai 23 kemungkinan kes cacar monyet dengan menyatakan bahawa semua kes yang disyaki membabitkan lelaki muda dan majoriti mereka melakukan hubungan seks dengan lelaki lain.

Penolong Ketua Pengarah Maklum Balas Kecemasan WHO, Dr Ibrahim Soce Fall, berkata penyebaran cacar monyet di UK perlu disiasat untuk memahami bagaimana penyakit itu disebarkan di kalangan lelaki homoseks.

Katanya, pegawai kesihatan masih memerlukan pemahaman yang lebih baik mengenai cara cacar monyet merebak secara umum, walaupun di negara penyakit itu adalah endemik.

Beliau menyatakan bahawa walaupun terdapat lebih 6,000 kes dilaporkan di Congo dan kira-kira 3,000 kes di Nigeria tahun lepas, masih terdapat begitu banyak yang tidak diketahui dari segi penularan.

UK sebelum ini melaporkan tiga kes awal cacar monyet, dua membabitkan mereka yang tinggal dalam rumah yang sama, manakala orang ketiga pernah pergi ke Nigeria.

Virus ini biasanya merebak kepada orang daripada haiwan yang dijangkiti seperti tikus, walaupun penularan dari manusia ke manusia juga diketahui berlaku.

Beberapa pakar UK belum lagi mahu membuat kesimpulan bahawa cacar monyet telah merebak melalui hubungan seks walaupun wabak itu mencadangkan kemungkinan itu.

“Kes yang berlaku kini mencadangkan cara penyebaran baru yang berpotensi,” kata Pakar Penyakit Universiti Edinburgh, Neil Mabbot, sambil menambah bahawa virus berkaitan diketahui merebak melalui seks.

Pakar Penyakit Berjangkit di Universiti Nottingham, Keith Neal, berkata penularan itu mungkin tidak berlaku melalui aktiviti seksual tetapi hanya hubungan rapat yang dikaitkan dengan hubungan seksual.

Keadaan kulit manusia yang dijangkiti cacar monyet

Sementara itu di Malaysia, risiko virus cacar monyet tersebar adalah rendah, kecuali jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kemungkinan transmisi jangkitan virus itu dari manusia ke manusia adalah terhad.

Katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan penularan cacar monyet, melalui laporan dikeluarkan WHO dan melakukan pemantauan kes disyaki virus berkenaan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

“Pengembara ke kawasan yang terdapat penularan virus itu seperti Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara sedang dilanda wabak berkenaan pula dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Fakta cacar monyet

Cacar monyet adalah virus yang biasanya ringan menyebabkan demam serta ruam beralun yang tersendiri. Terdapat dua strain utama, iaitu strain Congo yang lebih teruk dengan kematian sehingga 10 peratus dan strain Afrika Barat yang mempunyai kadar kematian sebanyak satu peratus daripada kes. Jangkitan United Kingdom, dilaporkan sebagai strain Afrika Barat.

Profesor Kesihatan Awam Antarabangsa di Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London, Jimmy Whitworth, berkata dari segi sejarah, kes yang dieksport sangat sedikit dan hanya berlaku lapan kali pada masa lalu sebelum tahun ini dan situasi ini sangat luar biasa.

Gejala

Gejala jangkitannya mirip cacar membabitkan demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka sebelum merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain. Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan bengkak kelenjar limfa.

Tempoh inkubasi biasanya ialah antara enam hingga 21 hari dan akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu

Bagaimana cacar monyet berjangkit

Menurut WHO, virus itu ditularkan terutama kepada manusia daripada haiwan liar seperti tikus dan primat, tetapi penularan boleh berlaku dari manusia ke manusia.

Mengikut WHO, penularan manusia ke manusia berlaku melalui sentuhan dengan luka, cecair badan, titisan pernafasan dan bahan tercemar seperti katil. Makan daging yang tidak dimasak dengan sempurna dan produk haiwan yang dijangkiti juga mungkin merupakan faktor risiko.

Namun kali ini, penularan cacar monyet membingungkan pakar kesihatan kerana beberapa kes di UK tidak mempunyai hubungan yang diketahui antara satu sama lain. Orang pertama yang dilaporkan dijangkiti pada 6 Mei lalu berkunjung ke Nigeria. Oleh itu, pakar memberi amaran berhubung penularan yang lebih luas jika kes tidak dilaporkan.

Mengapa ia merebak dan adakah ia serius?

Satu senario yang mungkin berlaku di sebalik peningkatan kes ialah lonjakan dalam perjalanan apabila sekatan Covid-19 ditarik balik. Walaupun ia menyebabkan penyakit yang kurang serius, cacar monyet berada dalam keluarga yang sama dengan cacar, yang telah dihapuskan melalui vaksinasi pada tahun 1980.

Vaksin cacar yang juga melindungi daripada cacar monyet, telah dihentikan secara berperingkat. Mengikut Pakar Epidemiologi Universiti California, Dr Anne Rimoin, pemberhentian kempen vaksinasi itu yang membawa kepada lonjakan kes cacar monyet.

Namun, pakar kesihatan menggesa orang ramai supaya tidak panik. Whitworth berkata, ini tidak akan menyebabkan wabak di seluruh negara seperti Covid-19, tetapi cacar monyet adalah wabak penyakit serius yang serius yang harus ditangani secara serius. – AP/CNN/ALJAZEERA

- Advertisement -