Remaja 18 tahun tembak mati 19 pelajar sekolah rendah, dua dewasa

Reaksi sedih keluarga mangsa serangan di Sekolah Rendah Robb di Uvalve, Texas, Amerika Syarikat pada 24 Mei, 2022. (FOTO REUTERS/Marco Bello)
- Advertisement -

Susunan YUSMAN AWANG

UVALDE, TEXAS: Pihak berkuasa negeri Texas telah mengeluarkan maklumat mengenai penembak remaja yang didakwa menembak neneknya sebelum menyerang sebuah sekolah rendah di sini pada pagi Selasa (24 Mei), menyebabkan sekurang-kurangnya 19 pelajar dan dua orang dewasa, dipercayai guru sekolah tersebut maut dalam kejadian itu.

Menurut kenyataan pegawai polis Texas, Salvador Rolando Ramos yang berusia 18 tahun dipercayai bersenjatakan pistol dan berkemungkinan senapang adalah orang yang dipercayai bertindak sebagai penembak tunggal dalam kejadian di Sekolah Rendah Robb, di kawasan penduduk komuniti Latin yang terletak kira-kira 85 batu (135 kilometer) barat San Antonio.

- Advertisement -

“Seorang ejen peronda sempadan yang berada berhampiran ketika tembakan bermula bergegas ke sekolah tanpa menunggu bantuan polis telah menembak dan membunuh lelaki bersenjata itu, yang berada di belakang penghadang,” seorang pegawai penguatkuasa undang-undang yang tidak mahu namanya disiarkan kerana dia tidak diberi kuasa untuk bercakap.

Gabenor, Greg Abbot yang mengesahkan perkara tersebut berkata, Ramos berkemungkinan dibunuh oleh ejen berkenaan tetapi kejadian itu masih disiasat. Sementara Ketua Polis Daerah Uvalve, Pete Arredondo berkata, penyerang bertindak bersendirian.

Dalam pada itu menurut pegawai di Jabatan Keselamatan Awam Texas, Sgt. Erik Estrada, Ramos telah menembak neneknya yang kini berada dalam keadaan kritikal, sebelum merempuh sebuah kenderaan berhampiran sekolah malang tersebut.

Detik ketika suspek mengintai sebelum memasuki bangunan Sekolah Rendah Robb di Uvalde, Texas pada 24 Mei 2022 yang dirakam dalam video seorang guru sekolah berkenaan (gambar kiri), sementara ibu bapa pelajar sekolah terbabit yang cemas dengan keselamatan anak masing-masing (foto kiri atas dan bawah). (FOTO Techno Trenz)

Dalam kenyataannya kepada CNN, Estrada berkata bahawa selepas menembak neneknya, Ramos yang memandu kereta dengan laju telah terbabas dan melanggar sebuah kereta yang diparkir di sekolah tersebut.

“Suspek memang terbabas berhampiran parit berhampiran sekolah. Di situ, dia keluar dari kenderaannya dengan menggunakan senapang dan memasuki beberapa bilik darjah di sekolah rendah sebelum menembak mangsa.

“Ketika itu, Ramos memakai perisai badan sambil membawa senapang dan beg galas,” ujar kata Estrada.

Salvador Rolando Ramos dipercayai suspek tunggal di sebalik serangan maut di Sekolah Rendah Robb, Uvalde, Texas pada 24 Mac 2022.

Kejadian serangan terbaharu ini mengulangi serangan ngeri sekolah rendah di Amerika Syarikat hampir sedekad yang lalu, sejak seorang lelaki bersenjata membunuh 20 murid berusia antara 6 hingga tujuh tahun dan enam dewasa di Sandy Hook Elementary di Newtown, Connecticut.

Ia juga berlaku hanya 10 hari selepas seorang lelaki bersenjata dan berperisai badan membunuh 10 pelanggan kulit hitam dan pekerja di sebuah pasar raya di Buffalo, New York, dalam apa yang pihak berkuasa labelkan sebagai serangan bersifat perkauman. – HARAKAHDAILY 25/5/2022

- Advertisement -