Pertumbuhan ekonomi Kelantan digarap dasar MBI

- Advertisement -

Oleh ASLANI M | Foto MOHAMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mewujudkan Majlis Penasihat Syariah Kumpulan PKINK bagi memastikan operasi dan aktivitinya mematuhi prinsip-prinsip syariah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Aziz Yunus berkata, langkah itu bagi menjamin kewujudan PKINK sebagai sebuah badan ekonomi yang berdaya saing, bersifat dinamik, giat dan kental.

Katanya kewujudan Majlis Penasihat Syariah selaras dengan dasar Membangun Bersama Islam (MBI).

“Kita ingati semula kegigihan Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat membentuk MBI. Pada waktu itu ia agak asing, namun Tok Guru mendapat ilham daripada al Quran dan Sunnah.

- Advertisement -

“Kita berasa bertuah sehingga hari ini dapat berjalan baik biar pun menghadapi pelbagai cabaran.

“Dan selepas zaman arwah Tok Guru kita tambah baik dengan Merakyatkan MBI berpaksi tiga asas iaitu keberkatan, kemakmuran dan kebajikan,” katanya di sini.

Oleh itu kata beliau PKINK menaruh keyakinan tinggi Kelantan boleh melangkah ke hadapan berdasar prestasi pertumbuhan ekonomi yang digarap daripada dasar MBI.

Katanya, PKINK turut menerapkan nilai pengurusan cara Islam berlandaskan Ubudiyyah, Masuliyyah, Itqan (UMI) di mana ada peningkatan dari semasa ke semasa.

Menurutnya juga PKINK memain peranan memacu ekonomi yang seimbang meliputi bidang pertanian, hartanah, perkhidmatan, perlombongan dan perladangan.

“KDNK Kelantan diisytiharkan Jabatan Perangkaan meningkat tahun lepas. Ini tidak boleh dicapai semata-mata kerana faktor ekonomi biasa tetapi disumbang keberkesanan aspek fizikal dan rohani,” ujarnya.

Kata beliau PKINK turut menggembleng tenaga di antara kerajaan negeri dan Persekutuan supaya pembangunan dapat dibuat secara holistik. – HARAKAHDAILY 16/5/2022

- Advertisement -