16 Mei hari bermakna atas pengorbanan warga pendidik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanggal 16 Mei merupakan hari yang cukup bermakna buat warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka dalam mendidik anak bangsa. 

Menurutnya, tema sambutan Hari Guru pada tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’ juga bertepatan dengan komitmen mereka untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam melahirkan pewaris generasi masa depan negara.

Advertisement

“Guru umpama pelita yang menerangi kehidupan sepanjang hayat. Onak dan ranjau tetap ditempuhi dengan tenang,” katanya menerusi laman Facebook beliau, hari ini.

Justeru, beliau berharap para pendidik akan terus berbakti dan melaksanakan amanah yang diberikan untuk anak-anak Keluarga Malaysia.

“Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua insan yang bergelar guru. Jangan pernah lelah menjadi pelita bagi Keluarga Malaysia,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2022