‘Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh warga pendidik di negara ini atas segala jasa dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa menjadi warga berguna.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara itu menambah, ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Menurutnya, beliau pasti sambutan Hari Guru tahun ini terutama di peringkat sekolah lebih meriah kerana negara sudah memasuki fasa peralihan endemik dan sudah tidak ada lagi sekatan untuk mengadakan majlis atau acara sambutan berkenaan.

- Advertisement -

“Gunakanlah peluang ini untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama guru atau dengan anak murid.

“Kita tidak akan sesekali melupakan pengorbanan besar para guru dan pendidik ketika negara berhadapan dengan pandemik Covid-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Ketika itu, ujarnya murid dan pelajar tidak dapat ke sekolah kerana semua sekolah dan institusi pendidikan terpaksa ditutup bagi mengekang penularan virus berbahaya itu.

Bagaimanapun, kata beliau warga pendidik tidak berdiam diri dan meneruskan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian bagi memastikan murid dan pelajar dapat belajar seperti biasa.

Tambahnya lagi, kerajaan juga telah memperkenalkan DidikTV bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran di rumah terutamanya bagi pelajar luar bandar yang mempunyai akses internet dan peranti yang terhad.

Beliau berkata, setelah pandemik reda dan murid sudah dapat kembali belajar semula, sebahagian besar sekolah memperkenalkan pula ’catch up programme’ kepada murid-murid yang terjejas bagi memastikan mereka tidak jauh ketinggalan atau tercicir dalam pelajaran.

“Sungguh besar pengorbananmu wahai warga pendidik dan tidak mampu dibalas dengan apa juga harta dunia. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala jasa dan khidmat bakti  anda selama ini.

“Saya berdoa agar anda semua sentiasa sihat, tabah dan diberi kekuatan untuk terus memikul tanggungjawab mendidik dan memartabatkan anak bangsa.

“Selamat Hari Guru 2022. Sekolah Tunjang Negara Sejahtera,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2022

- Advertisement -