Penyatuan ummah: Seluruh agensi bawah JPM HEA digerakkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, Persidangan Antarabangsa Kesatuan Islam anjuran The World Muslim Communities Council di Abu Dhabi, kelmarin menjadi jambatan pertemuan pemimpin serta para ilmuan dan pentadbir.

Menurutnya, selain berkongsi pandangan masing-masing, ia juga membina hubungan strategik serta jaringan kerjasama antara agensi hal ehwal Islam.

- Advertisement -

Beliau turut menerima jemputan Setiausaha Agung Majlis Hukama’ Muslimin yang juga Wakil Kanan Syeikhul Azhar, Mohamed Abdel-Salam ke Ibu Pejabat Majlis Hukama’ Muslimin di Abu Dhabi.

“Dalam pertemuan tersebut, beliau berharap agar kerjasama berpanjangan dan penglibatan proaktif dalam menyumbang kepada agenda penyatuan ummah serta agenda keharmonian masyarakat berbilang agama dan budaya.

“Saya amat menyambut baik saranan tersebut dan akan menggerakkan seluruh agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” katanya menerusi laman sosial beliau, semalam.

Beliau menambah, dalam konteks Malaysia, tentunya agenda penyatuan ummah menjadi keutamaan yang digerakkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan seluruh agensi hal ehwal Islam di bawah JPM (Hal Ehwal Agama).

Secara praktikal, ujarnya JPM (Hal Ehwal Agama) telah menggerakkan 5 inisiatif MANTAP yang memberi fokus membangunkan masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Terbaharu, katanya JPM (Hal Ehwal Agama) telah mengeluarkan Dokumen Keluarga Malaysia, Keluarga Sejahtera sebagai halatuju di peringkat pentadbiran.

“Seluruh agensi hal ehwal Islam dalam pelbagai dimensi dan program telah dan terus berusaha menerapkan agenda penyatuan ummah dan keharmonian kaum demi negara tercinta,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -