Tahniah penderma darah aferesis terbanyak di Malaysia

Foto daripada Facebook Jacky Liew Chin Yap.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Liew Chin Yap di atas pengiktirafan sebagai Penderma Darah Aferesis Terbanyak oleh The Malaysian Book of Records, baru-baru ini.

Menurut PDN, sehingga 18 April yang lalu, beliau telah menderma darah sebanyak 632 kali.

- Advertisement -

“Beliau mula menderma darah buat pertama kalinya apabila mengikut adiknya ke satu kempen derma darah pada tahun 1992.

“Sehingga kini, beliau masih setia menjalankan tanggungjawab sosial sebagai penderma darah,” ujar PDN dalam catatan di laman Facebooknya, semalam.

Tambah PDN, mengetahui tentang keperluan darah untuk pesakit hanya boleh diperolehi melalui pendermaan darah, ia menjadi inspirasi untuk beliau terus menderma darah secara konsisten selama tiga dekad ini.

“Sekali lagi, Pusat Darah Negara ingin mengucapkan tahniah kepada Liew kerana menjadi insan yang paling pemurah yang telah menyelamatkan ratusan dan mungkin ribuan nyawa pesakit,” ujarnya.

Pusat Darah Negara juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu Liew mendapatkan pengiktirafan tersebut. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -