Berpecah pada PRU15 tindakan undur ke belakang

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu dilupakan dianggap sebagai pandangan berundur ke belakang.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dato’ Ahmad Yahaya berpandangan, seharusnya politik baharu berbentuk kerjasama dan tolak ansur lebih menjamin masa depan negara.

- Advertisement -

“Sepatutnya, sedaya upaya mengajak kepada perpaduan, seruan kepada kerjasama itu, sepatutnya itulah yang dikumandangkan, bukan seruan kepada perpecahan dan mengenepikan rakan-rakan muafakat, itu yang terbaik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Ahmad, rakyat sendiri berharap pemimpin dapat duduk bersama dan berbincang mempertahankan pentadbiran negara hari ini yang berjaya menghadapi pelbagai kemelut termasuk pandemik Covid-19.

Katanya, gandingan yang baik antara PAS, Bersatu, Umno, dan beberapa parti lagi mewujudkan situasi politik yang tenang serta matang.

“Kita dapat saksikan keadaan politik yang tenang dan matang, jadi ia patut dikekalkan, bukan sekadar Muafakat Nasional sahaja, kita mahu supaya satu penyatuan berlaku dalam kalangan parti-parti Melayu Islam dan parti bukan Melayu Islam yang tidak ekstrem.

“Jika ini berlaku, sudah tentu kita dapat melihat satu impak yang lebih besar berlaku kepada negara,” katanya.

Tambah beliau, dalam tempoh dua tahun pemerintahan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), pelbagai masalah boleh diatasi dengan baik termasuk mendepani cabaran pandemik dan pasca-pandemik Covid-19.

Katanya, berdasarkan penilaian itu, beliau yakin lebih banyak permasalahan dapat dihadapi bersama jika kerjasama dan gandingan antara parti-parti ini berhasil.

“Masalah boleh diatasi bersama, jadi saya punya pandangan untuk hari kehadapan iaialh, sudah tentu kerjasama dan gandingan ini akan menghasilkan yang lebih baik untuk negara,” katanya.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid mengelurkan kenyataan kerjasama PAS dan Umno melalui MN perlu dilupakan pada PRU15.

Katanya, ini kerana Umno telah beberapa kali memberi ruang kepada PAS untuk mempersetujui perkara terkandung di dalam piagam MN, namun tidak disepakati. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -