Beberapa loji AKSB berjaya tingkat pengeluaran air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Selepas lama menyepi pemilik Facebook yang bernama Husam Musa tiba-tiba melakukan gimik politik apabila meminta Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob meletak jawatan berkaitan isu bekalan air.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan Mohd Asri Mat Daud berkata, gesan itu sekadar bersifat politik apabila menyebut kononnya menteri besar mengatakan empat bulan sebagai tempoh penyelesaian isu bekalan air.

- Advertisement -

Sedangkan katanya menteri besar tidak pernah menyebut perkara itu, sebaliknya ia adalah komitmen Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebagai tempoh yang dijangka dapat menyelesaikan isu pengeluaran bekalan air pada masa tersebut.

“AKSB berusaha mengambil langkah drastik bagi meningkatkan tahap bekalan air. Beberapa projek Loji Rawatan Air menunjukkan kemajuan bagi meningkatkan tahap pengeluaran bekalan dan mengatasi kadar kehilangan air tidak terhasil (NRW).

“Pelan Induk AKSB (2021-2030) menyasarkan untuk pengurangan NRW daripada 50 kepada 30 peratus dan meningkatkan liputan bekalan air daripada 70 kepada 95 peratus,” katanya pada kenyataan petang ini.

Manakala katanya bagi projek Loji Rawatan Air Kampung Telok yang dibangkitkan Husam, AKSB sedang dalam tindakan menyelesaikan pengeluaran sehingga 30 juta liter sehari (JLH).

Menurutnya juga kerajaan negeri sentiasa berusaha bagi meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air kepada rakyat Kelantan.

Malah katanya kerajaan negeri mengambil beberapa langkah antaranya penyediaan lori tangki dan tangki statik bagi menampung bekalan air di kawasan terjejas terutama pada musim cuti perayaan dengan menyediakan peruntukan sehingga RM11.6 juta. – HARAKAHDAILY 8/5/2022

- Advertisement -