70 tahun PAS Perak: Melakar sejarah mencipta masa depan

- Advertisement -

PADA hujung April 2022 ini, genaplah 70 tahun usia perjuangan PAS Perak kerana cawangan PAS yang pertama di Perak telah ditubuhkan di Kuala Kangsar pada 26 April 1952. Ia adalah cawangan PAS yang ketiga setelah PAS Cawangan Pulau Pinang dan PAS Cawangan Bukit Mertajam. Pada awalnya, cawangan ini dikenali sebagai PAS Cawangan Perak, tetapi apabila semakin banyak cawangan PAS tumbuh di Perak, nama itu tidak sesuai lagi, lalu dikenali sebagai PAS Cawangan Kuala Kangsar. Tokoh utama yang mengasaskan PAS Perak ini ialah Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh, mudir Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas dan dibantu oleh Ustaz Othman Hamzah dari Gunung Semanggol sebagai setiausahanya. Dari kebangkitan yang kecil inilah, PAS telah membina kekuatan di Perak sehingga menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri pada hari ini.

- Advertisement -

Kebangkitan PAS di Perak sebenarnya bukan berlaku secara tiba-tiba atau mengejut, kerana Perak adalah sebuah negeri yang memang terkenal kerana perjuangan agama mereka. Ketika Negeri Perak moden diasaskan oleh Sultan Muzaffar Shah, putera Sultan Mahmud Melaka dan Puteri Unang Kening binti Sultan Mansor Kelantan pada 1528, baginda segera mendirikan sebuah masjid di Lenggong sebagai pusat dakwah Islam, dan kini masjid tersebut adalah antara yang tertua di negara ini. Kedudukan Islam dalam Kerajaan Perak diperkukuhkan dengan kehadiran Syed Hussain Faridz dari Hadramaut sebagai pembesar pada zaman Sultan Mahmud Iskandar Shah (1653-1720). Bahkan, ketika kedatangan British pada 1874, Sheikh Wan Mohammad Wan Hussein yang menjadi mufti dewasa itu dikatakan memainkan peranan utama di sebalik pergerakan Dato’ Maharajalela dan Dato’ Sagor ke atas JWW Birch, Residen British.

Sejarah sebenar perjuangan Islam di Perak telah dicatat dengan tinta emas oleh para sarjana apabila Ustaz Abu Bakar al-Baqir telah berjaya menyatukan para ulamak seluruh Malaya dalam Persidangan Agama di Maahad al-Ihya as-Syariff pada 22-24 Mac 1947, yang berhasil menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA). Ia adalah lanjutan daripada usaha Dr Burhanuddin al-Helmy sebagai Penasihat Kebudayaan Melayu di Markaz Tentera Jepun di Taiping yang menganjurkan Persidangan Majlis-majlis Agama Se-Malai di Istana Kuala Kangsar pada 12-15 Disember 1944. Sebagai mentor kepada pergerakan politik Islam di Gunung Semanggol, Dr Burhanuddin al-Helmy bersama Ustaz Abu Bakar al-Baqir telah menubuhkan parti politik Islam yang pertama di negara ini, Hizbul Muslimin dalam satu Persidangan MATA di Gunung Semanggol pada 14 Mac 1948. Malang sekali, kerana kebangkitan ini telah dilumpuh oleh Ordinan Darurat 1948.

Walaupun pergerakan politik di Gunung Semanggol dilumpuhkan, tetapi anak-anak gerakan yang dilahirkan di Gunung Semanggol sangat cerdas dalam pergerakan politik Islam selepas itu. Salah seorang tokoh pelajar di Maahad al-Ihya as-Syarff ialah Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan yang menjadi Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam. Anak kelahiran Ulu Piol, Manong ini pernah menjadi Pemangku Pesuruhjaya Agama Terengganu sebelum dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno pada 1950. Tokoh lain yang terlibat termasuklah Ustaz Haji Ahmad Maliki, alumni Maahad al-Ihya as-Syariff yang menjadi guru di Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Kepala Batas. Di Gunung Semanggol sendiri, tokoh-tokoh seperti Ustaz Othman Hamzah dan Ustaz Baharuddin Latif turut cergas dalam pergerakan politik kemerdekaan di sana, di mana mereka telah menjadi guru di maahad tersebut setelah tamat belajar.

Penyertaan Tuan Guru Haji Ahmad Fuad ke dalam Umno telah menarik sebahagian alumni maahad ini untuk bersama Bahagian Agama Umno, sedangkan di Hilir Perak, Majlis Ulamaknya begitu lantang mendesak Umno supaya mengambil berat mengenai kedudukan agama Islam dan umatnya. Terdesak dengan tekanan ini, Umno menganjurkan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950, tetapi resolusi persidangan ini tidak diambil berat oleh Umno. Kemudian, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Agama Umno sendiri mengkritik kealpaan parti Melayu itu, lalu sebuah lagi persidangan ulamak diadakan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951. Dalam persidangan inilah sebuah persatuan ulamak telah ditubuhkan kerana ulamak tidak berpuas hati dengan sikap Umno. Persatuan ini kemudiannya dinamakan sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS) ketika mereka bersidang di Bagan Tuan Kechil pada 24 November 1951.

Nama PAS yang ‘dipakaikan’ kepada persatuan Islam ini ialah berasal dari cadangan Ustaz Othman Hamzah, tokoh keluaran Gunung Semanggol juga dan Tuan Haji Ahmad Fuad Hassan dipilih sebagai Yang Dipertua PAS yang pertama pada 24 November 1951 itu. Tokoh-tokoh Islam dari Gunung Semanggol, Bagan Serai, Padang Rengas, Larut, Taiping, Hilir Perak dan lain-lain antara yang hadir mengasas PAS ketika ini, sehingga Ustaz Haji Mohdd Ghazali Abdullah, seorang guru dari Madrasah al-Ulum as-Syar’iah, Bagan Datoh dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS, manakala Ustaz Ahmad Maliki diangkat sebagai Setiausaha Agungnya. Seorang lagi tokoh dari Perak, Haji As’iya Abdul Majid, seorang qadhi yang aktif dalam Majlis Ulamak Perak turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja PAS.  

PAS Perak ditubuhkan

Setelah lapan bulan PAS ditubuhkan, salah seorang pengasas PAS, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh telah berjaya mengumpulkan 150 orang umat Islam di Kelab Saadat al-Islam, Kuala Kangsar dalam satu perjumpaan yang dibuka oleh Orangkaya Setia Bijaya Diraja Toh Muda Mohd Hashim Juragan Abdul Shukor, Orang Besar Lapan Perak. Dalam perjumpaan pada 26 April 1952 ini, mereka telah bersepakat untuk menubuhkan PAS Cawangan Perak dengan melantik Tuan Guru Haji Abdul Samad sebagai Yang Dipertua serta Ustaz Othman Hamzah dan Ustaz Ahmad Azzam Hanapiah masing-masing sebagai Setiausaha dan Penolong Setiausaha, manakala Ustaz Ash’ari Afa’ie sebagai Bendahari. Turut terlantik ialah Othman Abdullah, Dr Imamullah al-Khuldi, Khalid Abbas, Abdul Halim, Ash’ari an-Naim, Sheikh Jaafar al-Mukti, Ahmad, Ustaz Adnan, Abdul Hamid dan Mas’ud sebagai ahli-ahli jawatankuasanya.

Kemudian, dalam masa yang singkat PAS telah berkembang pesat di Perak terutama di Bagan Serai dan Hilir Perak. Sehingga tahun 1955, PAS telah berjaya menubuhkan cawangan di Beruas, Selama, Teluk Anson, Hilir Perak, Titi Serong, Kerian, Gerik, Ipoh, Kuala Kangsar, Parit, Manong, Batu Kurau Coast Road, Bagan Tiang, Batu 8 Kuala Kurau, Gunung Semanggol, Selinsing, Jalan Bharu, Padang Rengas, Dinding, Bagan Datoh Barat, Masjid Tinggi, Batu Hampar dan Tanjung Piandang, di samping puluhan ranting PAS yang ditubuhkan di setiap kampung. Kerana kekuatan inilah, PAS Perak mencipta sejarah apabila mereka berjaya memenangi kerusi Majlis Undangan Negeri Kerian Laut dan kerusi Majlis Undangan Persekutuan Kerian, masing-masing melalui Mohd Kamal Ahmad dan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussein pada 1955. Sejak itu, PAS Perak dapat mengembangkan sayapnya ke setiap kawasan Parlimen, di mana kini PAS mempunyai 24 Kawasan (dahulu Cawangan) di Perak.

Walaupun kedudukan PAS di Perak tidaklah gah seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah, namun PAS Perak mempunyai sejarah yang tersendiri dalam perjuangan PAS. PAS Perak bukan sahaja telah melahirkan wakil rakyat pertama PAS, tetapi turut melahir tiga orang Yang Dipertua Agung PAS yang awal iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dato’ Dr Haji Abbas Alias (1953-1956) dan Prof Dato’ Seri Dr Burhanuddin al-Helmy (1956-1969). Empat orang Timbalan Yang Dipertua Agung PAS iaitu Dato’ Haji Ghazali Abdullah (1951-1953), Dato’ Dr Haji Abbas Alias (1953-1954), Prof Dato’ Zulkifli Mohammad (1956-1964) dan Dato Haji Hassan Adli Mohd Arshad (1969-1978) juga merupakan orang Perak. Di kalangan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Othman Abdullah dati Tapah adalah Setiausaha Agung PAS yang pertama dari Perak (1955-1959), sebelum Haji Hashim Abdullah al-Baghdadi, peguam dari Bagan Datoh (1959-1962), Ustaz Abdullah Zawawi Hamzah, wartawan dari Kuala Kangsar (1962-1969) dan Ustaz Baharuddin Abdul Latif (1969-1971) menggantikannya.

PAS sendiri mempunyai beberapa pengalaman mengadakan mesyuarat agung tahunan atau muktamar di Perak. Pertama kali Perak menjadi tuan rumah ialah pada 1953, iaitu Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kedua di Madrasah al-Ulum as-Syar’iyah, Bagan Datoh, manakala pada 1954, Madrasah Tahzib ad-Diiniah, Titi Serong pula menjadi tuan rumah. 12 tahun kemudian, pada 1966, Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Ke-14 diadakan di Bangunan YMHA, Jalan Stesen, Taiping dan kali terakhir diadakan di Stadium Indera Mulia, Ipoh pada 2008. Perak turut menjadi venue penubuhan Dewan-dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS. Pada 25 Ogos 1953, Dewan Pemuda PAS ditubuhkan dalam satu kongres di Bagan Datoh, diikuti oleh kongres penubuhan Dewan Ulamak dan Dewan Muslimat pada 13-14 Disember 1957. Ketiga-tiga dewan ini berkongres dan ditubuhkan di Madrasah al-Ulum as-Syar’yah, Bagan Datoh.

Kepemimpinan PAS Perak 

Kemunculan Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh sebagai pengasas PAS Perak pada 70 tahun yang lalu telah meletakkan beliau sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Perak yang pertama, sebelum Tuan Guru Haji Hassan Abdul Rahman dilantik sebagai Yang Dipertua PAS Cawangan Kerian pada 6 Julai 1952. Ekoran pertumbuhan pesat cawangan-cawangan PAS di Perak ini, pada 1954, Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Alias telah memutuskan untuk melantik Pesuruhjaya PAS Negeri-negeri sebagai ‘pegawai Pejabat Agung PAS’ untuk mengetuai PAS peringkat negeri. Pada 1954 ini, walaupun negeri-negeri lain mempunyai seorang pesuruhjaya sahaja, tetapi memandangkan pertumbuhan PAS di Perak berlaku dengan sangat pesat, iaitu di Bagan Serai dan Kuala Kangsar di utara dan Bagan Datoh dan Hilir Perak di Selatan, maka dua orang Pesuruhjaya PAS Perak dilantik pada 1954, iaitu Ustaz Abdul Wahab Noor (Perak Utara) dan Ustaz Hassan Adli Mohd Arshad (Perak Selatan).

Setelah itu, mulai akhir 1955, PAS Perak hanya mempunyai seorang pesuruhjaya sahaja pada setiap sesi. Di antara tokoh yang pernah diamanahkan sebagai Pesuruhjaya PAS Perak ialah Ustaz Abdul Wahab Noor (1955-1962 dan 1968-1974), Ustaz Buaharuddin Abdul Latif (1962-1968, 1977-1983 dan 1984-1987), Ustaz Datuk Hassan Adli Mohd Arshad (1975-1977), Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh (1983-1984), Ustaz Azizan Desa (1987-1993), Ustaz Kamaruddin Awang Bashir (1993-1997), Tuan Guru Haji Sabran Asmawi (1997-2001), Ustaz Ahmad Awang (2001-2009), Ustaz Abu Bakar Hussein (2009-2013) dan Haji Razman Zakaria (2013 hingga sekarang). Di samping itu juga, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh pernah memangku jawatan ini pada 1974-1975 ekoran perletakan jawatan Ustaz Abdul Wahab Noor ketika PAS menyertai BN, dan Ustaz Baharuddin Abdul Latif juga memangku jawatan ini pada 1984-1985 ekoran kembalinya Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh ke rahmatullah. Ketika Datuk Hassan Adli dipecat dari PAS pada 1977 ekoran krisis darurat Kelantan, Ustaz Baharuddin Abdul Latif dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Pesuruhjaya PAS Perak pada 1977.

Sepanjang 70 tahun PAS Perak berada di bawah 17 orang Pesuruhjaya PAS ini, ia telah mencipta sejarah menjadikan Perak sebagai antara negeri yang diperintah oleh PAS. PAS mula menyertai kerajaan pada 1974 melalui BN, tetapi disingkirkan dalam satu krisis pada 1977. Pada 2008, PAS sekali lagi menyertai kerajaan melalui campuran tiga parti yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR) di mana Setiausaha PAS Perak, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin telah dilantik sebagai Menteri Besar, sebelum diguling dalam rampasan kuasa melalui penculikan wakil rakyat pada 2009. Kemudian, di dalam pergolakan politik pada 2020, PAS membentuk kerajaan melalui gabungan PN yang dipimpin oleh BERSATU, sebelum Umno menggulingkan Kerajaan PN pada akhir 2020. Setelah itu dibentuk pula Kerajaan BN yang turut disertai oleh PAS sejak 10 Disember 2020 hingga sekarang. Keberadaan PAS di dalam kerajaan campuran sejak 2020 ini menunjukkan kewujudan PAS Perak menjadi semakin penting dan berkesan di pentas politik negeri itu.  

Kini PAS Perak telah berusia 70 tahun, satu umur yang sangat matang dan sarat dengan pengalaman. Perak bukan menjadi pusat kelahiran gerakan politik Islam, tetapi ia juga pernah menjadi kubu kuat PAS dan telah melahirkan tokoh-tokoh utama PAS sepanjang dekad 1950-an dan 1960-an. Regu Prof Dr Burhanuddin al-Helmy dan Prof Zulkifli Mohammad dianggap sebagai ideolog yang membentuk perjuangan PAS dalam menegakkan sebuah negara yang melaksanakan syariat Allah. Kini PAS Perak mewarisi satu legasi yang besar dan monumental kepada perjuangan. PAS Perak telah melangkah ke hadapan dengan begitu perkasa dan memainkan peranan besar dalam perkembangan politik negeri itu khususnya. Mereka mempunyai potensi yang begitu baik untuk melalui 70 tahun yang kedua setelah rakyat mulai muak dengan politik cauvenis yang dibawa oleh parti ekstrem perkauman dan budaya politik bobrok yang diamalkan oleh kelompok nasionalis Sekular. Politik Islam dukungan PAS dilihat sebagai alternatif terbaik untuk membina semula negara pada masa akan datang.

MOHD FADLI GHANI
Ketua Penerangan Sidang Assabiqun Malaysia – HARAKAHDAILY 26/4/2022

- Advertisement -