Negara dapat barakah, rahmat apabila terpandu dengan hukum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kunci bagi sesebuah negara mendapat barakah dan rahmat daripada Allah SWT apabila negara dan masyarakat terpandu dengan bimbingan hukum, kata Senator Datuk Idris Ahmad. 

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, Imam al-Ghazali di dalam Ihya’ Ulum al-Din, mengatakan bahawa institusi Islam tertegak berasaskan ahl al-‘ilm wa al-fikr iaitu ulama, sementara ahl al-siyasah wa al-sultah sebagai penguasa atau pemimpin negara.

Justeru, katanya ulama perlu bertindak sebagai penasihat kepada kepemimpinan negara.

- Advertisement -

Tambanya, beliau amat berbesar hati dapat bertemu dan menjalin ukhuwah bersama barisan pengurusan bersama ahli-ahli jawatankuasa di bawah Pejabat Mufti termasuk warga kerja Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang menjadi sebahagian tulang belakang Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di dalam Majlis Amanat dan Program Diskusi Ilmiah anjuran Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang diadakan di Hotel Movenpick Tabung Haji, Sepang, petang semalam

“Alhamdulillah, sehingga kini dalam konteks pentadbiran Islam khususnya Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), urusan kefatwaan dan hukum hakam, pastinya saya akan merujuk kepada setiap keputusan Mufti Wilayah Persekutuan,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook beliau, malam tadi.

Beliau berkata, thiqah yang sepenuhnya kepada sahibus samahah dan ashabul fadhilah untuk berbahas secara mendalam untuk mencapai satu keputusan terbaik dalam membimbing kerajaan dan masyarakat.

Tambahnya, amat penting bagi seluruh kakitangan di Pejabat Mufti Wilayah untuk cakna dan pantas memberikan pandangan dalam apa-apa kekeliruan yang melibatkan kepentingan awam.

Kata beliau lagi, laman media sosial termasuklah portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah perlu menjadi medium penerangan buat ummah seluruhnya.

Sehubungan itu, beliau memuji tindakan pantas Pejabat Mufti Wilayah dan agensi-agensi lain pantas memberikan respons dan pencerahan terhadap isu-isu viral yang timbul.

“Harapan saya agar Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan terus cemerlang dan berjaya dalam merealisasikan visi untuk menjadi peneraju dalam pengurusan fatwa bertaraf dunia yang efisien, profesional dan diyakini menjelang tahun 2025, insya-Allah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 26/4/2022

- Advertisement -