Mahasiswa perlu berperanan perbetul fahaman masyarakat

Foto daripada Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
- Advertisement -

BANGI: Mahasiswa Terengganu perlu berperanan untuk menyebarkan berita yang sahih dan benar bagi mengelakkan salah faham masyarakat terutama berkenaan aspirasi dan pencapaian kerajaan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bahawa kelompok mahasiswa merupakan golongan akademik yang mampu menilai kesahihan sumber.

“Mahasiswa perlu memainkan peranan untuk memperbetul fahaman masyarakat yang salah terutamanya berkaitan berita palsu dan naratif buruk berkenaan kerajaan.

- Advertisement -

“Selain itu, kelompok mahasiswa diharap tidak lagi hanya berfikir tentang diri sendiri sahaja, namun turut menyertai proses demokrasi lagi-lagi Undi18 sudah mula diluluskan,” katanya dalam ucapan perasmian Iftar Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) Peringkat Zon Tengah 1443H, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Ahmad Samsuri turut berpesan agar mahasiswa terus menggilap potensi dengan ilmu kemahiran yang lain seperti komunikasi, kepimpinan serta seni berorganisasi.

“Kalian (mahasiswa) merupakan pemimpin masa akan datang yang bakal menggantikan pemimpin semasa justeru, bukan sahaja ibu bapa mengharapkan kecemerlangan anak mereka, bahkan seluruh rakyat negeri dan negara menantikan pelapis pimpinan selepas ini.

“Memimpin pastinya dengan ilmu bagi mencapai sebuah keharmonian, maka medan belajar adalah waktu terbaik untuk melengkapkan kepimpinan,” ujarnya.

Majlis iftar tersebut dianjurkan Yayasan Terengganu bagi meraikan 350 mahasiswa Terengganu yang berkelana di Lembah Klang melibatkan enam buah institusi pengajian awam; Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Kerajaan negeri turut menyumbang wang tunai kepada semua PERMATA universiti tersebut melalui Yayasan Terengganu berjumlah RM10,000 setiap institusi di Bangi Convention Centre. – TRDI.my

- Advertisement -