Yayasan Petronas bantu 1,100 keluarga miskin di Pantai Timur

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Yayasan Petronas membantu meringankan beban 1,100 keluarga kurang bernasib baik di Kelantan, Terengganu dan Pahang menerusi Program Sentuhan Kasih Aidilfitri.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, M Ahmad Shazly Ramli berkata, menerusi program itu setiap keluarga menerima sumbangan barangan keperluan asas termasuk beras, minyak masak, gula, tepung gandum, pes rendang, nasi impit segera dan santan kotak.

- Advertisement -

Katanya, sumbangan itu merupakan usaha berterusan Yayasan Petronas untuk membantu menyediakan keperluan asas kepada golongan kurang berkemampuan.

“Kami berharap sumbangan tersebut mampu meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan di samping membantu menceriakan mereka sempena hari raya yang bakal menjelang,” katanya pada kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, penularan pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun memberi kesan mendalam kepada kehidupan sebahagian rakyat Malaysia.

Beliau berkata, walaupun Malaysia berada dalam fasa peralihan ke endemik, namun kenaikan harga barangan menimbulkan beban terutama di musim perayaan.

Bagi menjayakan hasrat itu, M Ahmad Shazly berkata, 500 keluarga B40 menerima sumbangan tersebut di Kelantan.

“Ia melibatkan penerima dari jajahan Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Jeli dan Tanah Merah. Sumbangan diagih dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/4/2022

- Advertisement -