Mahasiswa tolak cadangan buka kasino di Sabah

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS) kesal kenyataan Parti Solidariti Tanahairku (STAR) yang mencadangkan pusat kasino dibuka di Sabah bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Rais Lajnah Siasah dan Penerangan MARSIS Mohd Zulfikaar Azizi Aliakbar berkata, terdapat banyak kajian di seluruh dunia membuktikan budaya judi mendatangkan impak negatif.

- Advertisement -

Kata beliau antaranya kajian Public Health England menyenaraikan 10 kesan buruk yang berlaku akibat berjudi.

“Antaranya menghancurkan institusi keluarga, merosakkan mental dan fizikal, peningkatan jenayah dan mengubah keperibadian seseorang.

“Ini membuktikan perbuatan judi akan merosakkan masyarakat dalam pelbagai aspek,” katanya pada kenyataan di sini.

Baru-baru ini, Naib Presiden STAR Kenny Chua dilapor berkata, sudah tiba masanya Sabah dibenarkan membina kasino di destinasi pelancongan bagi meningkatkan ekonomi negeri.

Mohd Zulfikaar berkata, MARSIS berharap kerajaan Sabah tidak terpengaruh terhadap cadangan mana-mana pihak yang boleh mendorong ke arah merosakkan masyarakat.

Oleh itu MARSIS mencadangkan kerajaan negeri memberi fokus kepada sektor pelancongan, kesukanan dan perubatan bagi memajukan ekonomi negeri dengan lebih pesat dan sihat.

“MARSIS berharap setiap kenyataan yang dikeluarkan pemimpin-pemimpin politik perlu dibuat bersandarkan kajian ilmiah sesuai dengan normal majoriti masyarakat di Sabah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 22/4/2022

- Advertisement -