Mahkamah India perintah hentikan tindakan roboh aset milik orang Islam

Penduduk melihat dengan perasaan sedih dan marah dari belakang pintu pagar besi ketika pihak perbandaran New Delhi merobohkan gerai, kedai dan kediaman milik orang Islam di kejiranan Jahangirpuri, barat laut New Delhi India pada 20 April 2022. (FOTO AP/Altaf Qadri)
- Advertisement -

NEW DELHI: Mahkamah Agung India telah mengeluarkan perintah supaya pihak berkuasa perbandaran New Delhi menghentikan tindakan meroboh kedai dan rumah yang didakwa dibina secara haram di kawasan kejiranan Islam di sini, baru-baru ini, yang menyaksikan rusuhan agama menyebabkan sembilan orang termasuk anggota polis cedera dan berpuluh-puluh penganut Islam ditangkap.

Mahkamah berkenaan dalam kenyataannya berkata bahawa status quo harus dikekalkan selama dua minggu di kawasan Jahangirpuri di Delhi Utara, sehari selepas ia mengarahkan pihak berkuasa perbandaran menghentikan daripada memusnahkan aset penduduk Islam di situ yang dikatakan dibina secara haram dii kawasan itu.

- Advertisement -

Perintah mahkamah itu diwartakan selepas mangsa yang mana aset mereka dirobohkan membuat aduan tidak diberi notis mengenai  perkara itu.

Terdahulu, Perbadanan Perbandaran Delhi Utara (NDMC) menggunakan jentolak untuk memusnahkan kediaman, gerai dan kedai jualan di sepanjang jalan di kawasan kejiranan yang didominasi penduduk Islam pada Rabu (20 Apr) lalu.

Tindakan NDMC yang dikendalikan oleh nasionalis Hindu Bharatiya Janata Party (BJP) itu adalah susulan keganasan pada Sabtu (16 Apr), yang dicetuskan oleh perarakan keagamaan penganut Hindu yang menghunus pedang dan menjerit slogan provokatif ketika mereka melalui sebuah masjid di kawasan itu, lapor saluran berita NDTV

Batu dan botol didakwa dibaling semasa perarakan diikuti oleh pertempuran dengan penganut Islam.

Majlis perbandaran New Delhi bertindak kejam merobohkan kedai milik penduduk Islam tanpa memberi sebarang notis di Jahangirpuri, New Delhi pada 20 April 2022. (FOTO Anews)

Sementara menurut laporan portal berita The Print pula, tindakan meroboh aset orang Islam di kawasan itu berlaku sehari selepas Presiden BJP, Delhi Adesh Gupta menulis kepada pesuruhjaya Delhi Utara memintanya mengenal pasti pembinaan haram oleh individu Islam yang ditangkap dalam keganasan pada Sabtu itu.

Tindakan serupa terhadap orang Islam yang dituduh merusuh telah dilaporkan di Madhya Pradesh dan Uttar Pradesh yang diperintah BJP.

Terdapat beberapa insiden rusuhan agama di bahagian berlainan di India sejak dua minggu lalu yang dicetuskan oleh perarakan pada perayaan Hindu seperti Hanuman Jayanti pada Sabtu dan Ram Navami pada hujung minggu sebelumnya. Pertempuran Ram Navami dengan penganut Islam dilaporkan dari sekurang-kurangnya tujuh negeri.

Seorang wanita tidak dapat menahan kesedihannya melihat kedai miliknya dirobohkan di Jahangirpuri pada 20 April 2022. (FOTO Anews)

Pengkritik kerajaan BJP pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi mendakwa terdapat lonjakan keganasan komunal di seluruh India dengan parti itu dan sekutu sayap kanannya menggalakkan permusuhan terhadap umat Islam dalam usaha untuk menyatukan undi.

Umat ​​Islam merangkumi 174 juta atau 14 peratus daripada 1.4 bilion populasi India yang majoritinya, lebih 80 peratus merupakan penganut  Hindu. India mempunyai penduduk Islam kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. – South China Morning Post

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -